Ahad, 6 Januari 2019 | 1:00pm
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu (dua dari kiri,duduk) berbual dengan ayah Allahyarham Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid (dua dari kanan,duduk) ketika melawat keluarga Allahyarham di Kampung Tebengau, Kuala Kedah. - Foto Amran Hamid

LIMA'19 fokus aspek pertahanan siber

ALOR SETAR: Kerajaan akan mengambil peluang mempertingkatkan aspek pertahanan siber, Pesawat Tanpa Pemandu (UAV) dan teknologi dron di perairan negara melalui penganjuran Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA ‘19) dijadual berlangsung Mac ini.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, berkata kerajaan akan melakukan rundingan bersama syarikat dan pempamer di LIMA’19 yang memfokuskan terhadap aspek pertahanan siber ini sebelum teknologi itu boleh diaplikasikan dalam perairan negara.

“Malaysia ingin meningkatkan pertahanan siber, UAV dan dron pada masa akan datang berikutan kawalan laut kita agak luas daripada pantai Timur sampai ke Sabah dan Sarawak dan perairan di Laut China Selatan.

“Justeru yang utama dalam dalam dunia pertahanan sekarang ialah UAV dan peperangan siber maka saya yakin syarikat yang terbabit dalam LIMA akan berlumba-lumba mempamerkan kehebatan mereka dalam bidang ini.

“Sudah tentu kita akan cuba untuk berunding dengan pempamer berhubung teknologi mana yang sesuai dengan perairan dan kemampuan kita, ” katanya pada sidang media, di sini.

Terdahulu, Mohamad yang juga Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) melawat rumah keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kasim, 24, iaitu anggota bomba yang maut, awal bulan lalu ketika menjalankan tugas semasa rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, November lepas.

LIMA ‘19 dijangka menarik sekurang-kurangnya 600 syarikat pempamer daripada 14 buah negara termasuk Amerika, Australia dan Jepun membabitkan pemain industri pertahanan dan syarikat komersial.

Pada masa sama, Mohamad berkata, adalah amat penting bagi negara meningkatkan aspek pertahanan membabitkan teknologi tinggi di perairan berikutan kawalan laut Malaysia yang luas khususnya dalam menyelesaikan masalah tuntutan bertindih terhadap pulau yang bersempadan dengan negara luar.

Katanya, LIMA ‘19 yang memfokuskan terhadap aspek pertahanan siber ini bakal menampilkan kehebatan teknologi terbabit dari negara seperti Russia dan Turki yang diketahui sebagai antara pelopor industri pertahanan moden.

“Saya yakin LIMA kali ini dapat dijayakan dengan lebih meriah malah saya dimaklumkan sudah 100 peratus penyertaan dalam pameran ini sudah ditempah yang merupakan rekod baharu kerana sebelum ini, kebiasaannya hanya 70 hingga 80 peratus tempahan diterima dalam tempoh dua bulan sebelum,” katanya.

Beliau berkata, perbelanjaan penganjuran pameran dwitahunan itu kali ini adalah lebih rendah berbanding sebelum ini malah pihaknya cuba mengelakkan ketirisan daripada berlaku sebagai langkah berjimat, bersesuaian dengan keadaan kewangan negara.

Berita Harian X