Selasa, 8 Januari 2019 | 5:17pm
MENTERI Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah. - Foto Owee Ah Chun
MENTERI Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah. - Foto Owee Ah Chun

Sarawak tiada tunggakan pinjaman

KUCHING: Kerajaan Sarawak tidak berhutang atau mempunyai tunggakan dalam pembayaran balik pinjaman kepada Kerajaan Persekutuan.

Pejabat Ketua Menteri Sarawak dalam satu kenyataan menjelaskan setiap tahun kerajaan negeri menyediakan peruntukan mencukupi dalam bajet tahunannya untuk pembayaran balik pinjaman itu.

Justeru, katanya, pinjaman Persekutuan dibayar tepat pada masanya berdasarkan jadual pembayaran balik seperti ditetapkan dalam perjanjian antara kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat.

Setakat 31 Disember 2018, jumlah kerajaan negeri membuat pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM2.38 bilion.

“Sarawak satu daripada negeri yang tidak mempunyai isu tunggakan dalam pembayaran balik pinjaman.

“Ini disahkan sendiri Ketua Audit Negara dalam laporan tahunannya dan dikemukakan kepada Majlis Kewangan Negara,” katanya.

Penjelasan Pejabat Ketua Menteri Sarawak itu sebagai maklum balas kepada kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, kelmarin, berhubung dengan pinjaman kerajaan negeri daripada Kerajaan Persekutuan.

Bagi Sarawak, pinjaman Persekutuan dibuat untuk membiayai pelaksanaan pelbagai projek di bawah Senarai Bersama, termasuk dari segi bekalan air, pembetungan, estet perindustrian, perumahan dan pertanian, terutama ladang sawit membabitkan pekebun kecil.

“Ini prosedur biasa seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan untuk negeri-negeri di Malaysia mencari pembiayaan persekutuan sama ada dalam bentuk pemberian atau pinjaman.

“Bentuk pembiayaan, sama ada dalam bentuk pemberian atau pinjaman, akan berdasarkan sifat projek iaitu sama ada projek itu akan menjana pendapatan pada masa akan datang (nilai komersial),” katanya.

Guan Eng kelmarin menempelak kenyataan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah yang mendakwa Kerajaan Persekutuan berhutang RM2.7 juta kepada Sarawak dalam bentuk hasil cukai pelancongan.

Sebaliknya, dalam satu kenyataan, Guan Eng mempersoalkan kembali situasi kewangan Sarawak.

“Kerajaan Sarawak masih berhutang lebih daripada RM2.5 bilion kepada Kerajaan Persekutuan dengan tunggakan hutang hampir RM50 juta.

“Memandangkan Sarawak mempunyai rizab yang begitu besar, mengapa pula tidak langsaikan hutang kepada Kerajaan Persekutuan?” katanya.

Berita Harian X