Rabu, 9 Januari 2019 | 3:14pm
PENGERUSI SPR, Azhar Azizan Harun menasihati calon mematuhi etika kempen. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Patuhi peraturan, etika kempen - SPR

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menasihati calon atau parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands supaya tidak melaksanakan aktiviti kempen yang boleh melanggar undang-undang dan peraturan pilihan raya.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun, berkata, aktiviti penjamuan, pemberian hadiah dan barangan, penggunaan kemudahan, aset dan program kerajaan serta aktiviti kempen yang berunsurkan perkauman serta menyentuh sensitiviti agama adalah dilarang.

Katanya, SPR bersama-sama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan bekerjasama erat memastikan tiada pihak melakukan sebarang tindakan yang melanggar undang-undang, peraturan dan etika kempen pilihan raya.

“SPR yakin PDRM mampu menangani sebarang kemungkinan serta menentukan keselamatan berada di tahap maksimum untuk membolehkan calon dan pengundi melaksanakan tanggungjawab demokrasi mereka.

“Semua parti dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggara pejabat dan barung pada hari mengundi.

“SPRM bersetuju untuk meletakkan pegawai dan anggota di ‘kawasan panas’ untuk membanteras kegiatan membeli undi. Jika aktiviti kempen sedemikian berlaku, tindakan boleh diambil selaras dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Azhar berkata, SPR sudah mengadakan perbincangan bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan pengurusan tertinggi PDRM serta Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull di Bukit Aman, hari ini dalam usaha menangani isu berkaitan salah laku rasuah dan pelanggaran undang-undang berkaitan kempen pilihan raya.

Katanya, dalam usaha untuk memastikan proses pilihan raya berjalan dengan aman dan harmoni, semua pihak termasuk pemimpin, penyokong parti politik dan calon bertanding diminta mematuhi undang-undang dan peraturan pilihan raya serta arahan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh SPR, PDRM, SPRM atau pihak berkuasa lain.

“Jika mana-mana pihak mendapati semasa tempoh rasmi kempen, wujud pelanggaran undang-undang dan peraturan khususnya yang berkaitan dengan amalan rasuah mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya atau Akta SPRM, SPR menyarankan supaya laporan atau aduan dikemukakan kepada SPRM.

“SPR juga mengingatkan semua pihak bahawa pada hari mengundi semua bentuk kempen atau aktiviti merayu undi adalah dilarang. Tiada mana-mana pihak yang boleh merayu undi termasuk melalui saluran media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram.

“SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika kempen pilihan raya pada PRK ini bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak menggugat ketenteraman awam,” katanya.

SPR menetapkan PRK Parlimen Cameron Highlands pada 26 Januari ini, manakala penamaan calon pula ditetapkan pada 12 Januari dan tarikh mengundi awal pada 22 Januari.

Berita Harian X