Khamis, 10 Januari 2019 | 1:59pm
DATUK Ishak Md Napis.

Laporan khas: Pembangunan punca lokasi tak sejuk macam dulu

CAMERON HIGHLANDS: Pembangunan projek komersial termasuk aktiviti pertanian dan premis perniagaan, antara penyumbang utama cuaca semakin kurang sejuk di kawasan peranginan di sini.

Presiden Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (REACH), R Ramakrishnan, mendakwa kemusnahan kawasan hijau itu masih berterusan, sekali gus boleh menjejaskan tarikan pelancong ke sini.

“Suasana persekitaran dingin antara tarikan utama pengunjung ke situ sebelum ini. Saya masih ingat ketika kecil dulu, kami terpaksa memakai pakaian tebal ke sekolah kerana cuaca yang sangat dingin dan sehingga jam 11 pagi pun suasana masih berkabus di Brinchang,” katanya.

Sejarah kewujudan tanah tinggi Cameron Highlands bermula apabila juru ukur Inggeris, William Cameron, melakukan ekspedisi di Banjaran Titiwangsa bagi melakukan pemetaan sempadan Pahang dan Perak.

Dalam ekspedisi itu, beliau menemui satu dataran tinggi bercerun membabitkan kawasan bergunung-ganang yang melindungi dataran terbabit pada ketinggian antara 1,372.5 hingga 1,403 meter dari aras laut.

Cameron bagaimanapun, tidak mencatatkan dalam pelan kedudukan sebenar dataran tinggi itu tetapi arah laluan ekspedisi beliau dikenal pasti menghala ke hulu Sungai Raja yang bersempadan dengan Perak.

Hanya selepas 40 tahun kemudian, Residen British ketika itu, George Maxwell, melakukan kajian selama sembilan hari di kawasan berkenaan sebelum mengambil keputusan untuk membangunkannya sebagai stesen tanah tinggi.

Satu jawatankuasa pembangunan ditubuhkan pada 1926 untuk melakukan pengezonan kawasan, sebelum laluan dari Tapah sehingga ke Tanah Rata dibina dan siap pada 1931. Cameron Highlands kemudian diletakkan di bawah pentadbiran daerah Kuala Lipis.

Projek impak tinggi

Pembangunan di sini bermula pada 1935, apabila pelbagai projek dilaksanakan iaitu membina padang golf enam lubang, tempat penginapan dan rumah tumpangan, sekolah, kem tentera, ladang tenusu, kebun sayur, ladang teh, rumah rehat kerajaan serta stesen eksperimen pertanian.

Sementara itu, Pegawai Daerah Cameron Highlands, Datuk Ishak Md Napis, berkata projek impak tinggi yang dilaksanakan ialah Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Bertam bernilai RM30.8 juta pada November 2014 dan siap dua tahun kemudian.

Satu lagi ialah projek Empangan Hidroelektrik Ulu Jelai di Jalan Ringlet-Sungai Koyan bernilai RM4.2 bilion, yang siap pada 2016.

“Projek berimpak tinggi sedang dilaksanakan ialah RTB Sungai Ringlet bernilai RM50 juta yang dijangka siap pada Mei tahun depan,” katanya.

Laksana pengezonan kawasan

Beliau berkata, perancangan pembangunan masa depan Cameron Highlands termasuk melakukan pengezonan kawasan seperti mewujudkan Zon Pertumbuhan Utama membabitkan kawasan Tanah Rata-Brinchang yang dijadikan kawasan pentadbiran, perkhidmatan dan pelancongan; Zon Pertumbuhan Tengah (Tringkap-Kea Farm), Zon Pertumbuhan Utara (Kampung Raja-Kuala Terla), dan Zon Pertumbuhan Selatan (Ringlet-Habu-Lembah Bertam).

Katanya, perancangan pembangunan turut membabitkan usaha mewujudkan Zon Pertanian Utara dan Zon Pertanian Selatan dengan tumpuan terhadap penanaman sayur-sayuran tanah tinggi, serta pembinaan laluan alternatif Habu-Tringkap, yang dijangka mampu mengurangkan kesesakan sekitar Tanah Rata-Brinchang.

221 dibaca
Berita Harian X