Isnin, 14 Januari 2019 | 5:47pm
RUSHDI menunjukkan contoh tengkolok istiadat yang biasa dipakan Sultan Pahang dibuat dari kain songket lapan tenunan khas ketika ditemui di Butiknya di Jalan Besar. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal

Kain songket lapan tenunan khas untuk pemasyhuran Sultan Pahang VI

KUANTAN: Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah akan mengenakan persalinan istiadat daripada kain songket lapan tenunan khas sempena majlis pemasyhuran sebagai Sultan Pahang Keenam di Istana Abu Bakar, Pekan, esok.

Persalinan istiadat itu dihasilkan tukang jahit, Rushdi Abdul Wahid, 49, yang sudah berkhidmat dengan baginda hampir 20 tahun.

Rushdi yang juga pemilik Maya Busana Tailor di sini, berkata kain songket tenunan khas bagi persalinan istiadat itu membabitkan seluar, baju, samping, selempang, bengkung dan tengkolok dengan gaya helang menyusur.

“Saya biasanya mengambil masa lebih seminggu untuk menyiapkan persalinan istiadat berkenaan. Sebelum ini, baginda biasanya menempah persalinan bagi menghadiri majlis kebesaran seperti pengurniaan pingat sempena hari keputeraan Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah dua bulan lebih awal.

“Baginda gemar memakai warna dengan rona hijau dan ungu tetapi tidak pasti warna persalinan yang akan dipakai bagi majlis pemasyhuran esok.

“Pada bulan lalu, baginda meminta saya menghadap kerana mahu menempah beberapa helai baju Melayu dan baju kemeja kain tenun. Saya gembira baginda dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang Keenam,” katanya ketika ditemui di butiknya di Jalan Besar, di sini, hari ini.

Rushdi yang berasal dari Alor Star, Kedah turut bertanggungjawab menyediakan persalinan untuk putera baginda selain Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah dan Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Abdul Fahd Mu’adzam Shah Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah.

Beliau berkata, Sultan Abdullah mementingkan kesempurnaan berkaitan ukuran, potongan dan jahitan setiap pakaian yang ditempah.

“Saya akan mengukur, memotong dan menjahit persalinan baginda dari mula sehingga selesai...saya lakukan sendiri bagi memastikan baginda berpuas hati dan selesa memakainya.

“Saya menyimpan setiap ukuran dan potongan persalinan untuk baginda dan puteranya, Tengku Muda Pahang dan puteranya, Tengku Arif Temenggong dan juga Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah,” katanya.

Berita Harian X