Rabu, 16 Januari 2019 | 2:14pm
Xavier (kanan) menunjukkan produk 'BioPellens' yang juga sisa kumbahan terawat iaitu biopepejal untuk menghasilkan bahan tanaman berkualiti serta perladangan hutan pada sidang media selepas menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara FRIM dan IWK di FRIM hari ini. - Foto BERNAMA

Penggabungan bil air, kumbahan dilaksana tahun ini - Xavier

KUALA LUMPUR: Penggabungan bil bekalan air dengan bil pembetungan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) dijangka dapat dilaksanakan sepenuhnya pada tahun ini.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar, berkata perbincangan sedang dilakukan ketika ini antara Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), IWK dan kerajaan negeri mengenai mekanisme untuk melaksanakan penggabungan bil itu.

Katanya, kejayaan penggabungan bil air dan IWK di Labuan, akan dijadikan panduan dalam pelaksanaannya di negeri lain.

“Selepas penggabungan bil air dan IWK di Labuan dilaksanakan, kita mendapati terdapat peningkatan dalam hasil kutipan kedua-dua bil itu sehingga 94 peratus.

“Ini menunjukkan penggabungan kedua-dua bil itu tidak menimbulkan masalah kepada pengguna, walaupun kita ada menerima maklum balas negatif, di samping positif, mengenai perkara ini,” katanya pada sidang media Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dengan IWK di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr Abd Latif Mohmod dan Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Faizal Othman.

Pada September tahun lalu, Xavier dilaporkan berkata, penggabungan bil bekalan air bersama bil pembetungan IWK mungkin dilaksanakan di Selangor, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, susulan kejayaan di Labuan dua tahun lalu.

Sejak 1994, IWK mengambil alih perkhidmatan pembetungan daripada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) kecuali Kelantan, Sabah, Sarawak, Majlis Bandaraya Johor Bahru dan Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

Mengulas lanjut, Xavier berkata, penggabungan bil itu dicadangkan bagi meningkatkan jumlah kutipan bil daripada pengguna, supaya IWK dapat mengurangkan kebergantungan dana daripada kerajaan untuk menyelenggara sistem pembetungan dan merawat air kumbahan.

“Walaupun ketika ini kutipan bil IWK ketika ini mencecah sehingga 93 peratus, namun ia masih belum cukup untuk mereka melakukan tugas menyelenggara sistem pembetungan.

“Ketika ini, kerajaan memberi subsidi sebanyak RM150 juta setahun kepada IWK, namun kita tidak boleh berterusan memberikan dana sebesar ini dan mesti berusaha menyelesaikan isu ini.

“Penggabungan bil ini saya cadangkan supaya orang ramai faham ini adalah satu tanggungjawab rakyat

Malaysia untuk bersama-sama memastikan sumber air kekal terpelihara,” katanya.

Terdahulu, Xavier menyaksikan MoU antara FRIM yang diwakili Abd Latif, dengan IWK yang diwakili Faizal, bagi mengadakan kerjasama dalam aplikasi penggunaan sisa kumbahan terawat iaitu biopepejal, untuk penghasilan bahan tanaman berkualiti serta perladangan hutan.

Biopepejal itu digunakan sebagai baja bagi memperbaiki keadaan tanah serta meningkatkan tumbesaran tumbuhan bukan makanan seperti pokok hutan.

Xavier berkata, biopepejal dihasilkan IWK dengan kerjasama FRIM itu boleh untuk program penanaman semula hutan, ladang getah dan pokok yang ditanam PBT.

“Hasil kajian mendapati ia adalah bahan yang sangat bagus dan saya harap semua PBT, ladang getah dan FRIM akan menggunakan biopepejal ini,” katanya, mengesahkan bahan itu akan dikomersialkan dengan jumlah pengeluaran biopepejal itu dijangka mencecah 100,000 tan setahun.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X