Selasa, 22 Januari 2019 | 1:41pm
Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (MPK), Tun Daim Zainuddin, menjawab soalan peserta dailog selepas menyampaikan ucapan pada Dailog Perwira - Navigating the Risk of Thucydides Trap di Wisma Perwira ATM. Turut sama, Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Hati-hati dengan teknologi 5G China - Daim

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu berhati-hati dengan teknologi generasi kelima (5G) dipelopori China yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan negara Barat ketika ini.

Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Tun Daim Zainuddin, berkata wujud alasan yang kukuh untuk ‘takut’ dengan teknologi 5G itu, yang dikhuatiri menjadi instrumen kegiatan pengintipan siber oleh China.

“Kemampuan China dalam teknologi dan penguasaan ekonomi seperti dalam rangka ‘Made In China 2025’ bagi keutuhan teknologi 5G mereka, mendorong Amerika Syarikat (AS) membuat tuduhan mengenai kecurian harta intelek serta manipulasi syarikat teknologi untuk kepentingan sesebuah negara.

“Hakikatnya, memang wujud alasan yang kukuh untuk takut pada kebangkitan pesat teknologi 5G oleh China. Hari ini, kita berdepan dengan pencerobohan kedaulatan digital, di samping kedaulatan sempadan negara.

“Walaupun kelajuan penghantaran dan penyimpanan maklumat banyak membantu kehidupan seharian, kita perlu bertanya apakah harga yang perlu dibayar untuk kemudahan ini.

“Maklumat ini (yang berisiko dicuri) bukan saja mengenai perkara yang kita kongsi secara sedar, tetapi membabitkan semua seperti apa yang kita buat, ke mana kita pergi, apa yang kita beli dan yang kita perkatakan, semuanya boleh ‘dicuri’ daripada gajet kita.

“Apakah keselamatan, pertahanan, privasi dan implikasi strategik hasil daripada penguasaan China dalam bidang ini,” katanya ketika berucap pada Program Dialog Perwira di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu; Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong; dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.


Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, menjawab soalan media pada sidang media selepas Majlis Dailog Perwira - Navigating the Risk of Thucydides Trap. Turut sama, Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (MPK), Tun Daim Zainuddin (dua kiri); Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong (kanan); dan Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin (kiri); di Wisma Perwira ATM. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Sabtu lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dilaporkan berkata kerajaan akan mengkaji sama ada Huawei perlu dihalang daripada membina infrastruktur 5G di Malaysia, susulan dakwaan kegiatan pengintipan siber dilakukan syarikat telekomunikasi gergasi China itu.

Sebelum ini, Jerman dilaporkan mempertimbangkan untuk memperkenalkan peraturan lebih ketat untuk mengekang teknologi 5G Huawei, susulan kebimbangan beberapa kerajaan negara Barat mengenai kemungkinan China menggunakan gajet Huawei untuk tujuan pengintipan.

Australia dan New Zealand turut dilaporkan mengharamkan Huawei di negara masing-masing, susulan gesaan AS supaya komuniti antarabangsa tidak bekerjasama dengan firma China itu.

Sementara itu, ketika sidang media, Mohamad berkata jabatan siber Kementerian Pertahanan bertanggungjawab untuk mengkaji semua teknologi baharu, termasuk risiko pengintipan oleh gajet Huawei.

Berita Harian X