Sabtu, 26 Januari 2019 | 5:59pm

PLUS buka lorong kecemasan di 2 lokasi kritikal pada musim perayaan

KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjelaskan pembukaan lorong kecemasan pada musim perayaan ini hanya membabitkan dua lokasi kritikal dan bukan sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan.

Lokasi itu adalah dari Simpang Pulai hingga Gopeng (KM287-KM295.1) dan dari Slim River hingga Sungkai (dari KM367.6-KM360.5), kedua-duanya sepanjang tujuh kilometer.

Dalam kenyataannya, PLUS memaklumkan pembukaan lorong kecemasan bertujuan melancarkan sedikit perjalanan orang ramai itu hanya dibuat selepas pihak PLUS dan polis membuat penilaian keselamatan di kedua-dua lokasi.

“Pembukaan hanya dikhususkan pada hari jumlah trafik tinggi atau kesesakan trafik adalah amat kritikal, selepas mendapat kebenaran pihak polis di lokasi.

“Pembukaan lorong kecemasan ini juga hanya akan diadakan selepas semua papan tanda keselamatan, trak tunda (sekiranya berlaku kemalangan) serta anggota keselamatan bersedia di lokasi,” katanya.

Menurut kenyataan itu, langkah menggunakan lorong kecemasan bertujuan meningkatkan kapasiti trafik di laluan utama, laluan lebih lancar dan seterusnya mengurangkan risiko kesesakan serta kemalangan.

“Langkah menggunakan Lorong Kecemasan ini akan dihentikan sekiranya keadaan keselamatan di lokasi tergugat pada bila-bila masa.

“Berdasarkan kajian dan rekod PLUS pada musim perayaan lalu, kesesakan trafik amat teruk di kedua-dua lokasi terbabit.

“Oleh yang demikian, langkah untuk membuka Lorong kecemasan di kedua-dua lokasi adalah untuk memberi sedikit kelegaan kepada orang ramai ketika bergerak pada waktu puncak di musim perayaan akan datang,” katanya.

Berdasarkan rekod PLUS, perjalanan di antara Slim River dan Sungkai sejauh 19 kilometer lazimnya memakan masa hampir 45 minit pada musim perayaan akibat trafik sesak.

Katanya, PLUS berharap langkah membuka Laluan Kecemasan di kedua-dua lokasi terbabit akan dapat membantu orang ramai bergerak dengan lebih selesa pada musim perayaan akan datang.

“Langkah ini juga adalah pada peringkat percubaan bagi membantu syarikat ini menilai keberkesanannya tanpa mengabaikan keselamatan pengguna lebuh raya.

“PLUS menjangkakan 1.9 juta kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan setiap hari pada waktu puncak sempena musim perayaan ini berbanding 1.45 juta pada hari-hari biasa, iaitu peningkatan sebanyak 24 peratus,” katanya.

Untuk keterangan lanjut, orang ramai boleh menghubungi bahagian Komunikasi Korporat PLUS di 03-7666 4630.

259 dibaca
Berita Harian X