Isnin, 28 Januari 2019 | 7:28pm
PENGARAH Pusat Belia Antarabangsa Dr Mohamed Maliki Mohamed Rapiee (belakang empat kanan) bersama sukarelawan MyCorps selepas meninjau lokasi kerja menaik taraf air paip masyarakat di Kampung Charuk Tenang, Sik. - Foto Ihsan MyCorps

9,500 dapat manfaat dari 90 projek sukarelawan MyCorps

KUALA LUMPUR: Seramai 40 sukarelawan MyCorps di bawah Kementerian Belia dan Sukan berjaya membantu lebih 9,500 rakyat Malaysia di 12 lokasi terpilih.

Ketika ini, sebanyak 90 projek sudah dilaksanakan dalam masa enam minggu sukarelawan ini berada di penempatan masing-masing.

Antara 12 lokasi yang dipilih dalam misi itu adalah Tongod, Semporna, dan Kudat, Sabah; Long Ikang, Long Liwek, Limbang dan Pulau Bruit, Sarawak; Sik, Kedah; Ulu Tembeling, Pahang; Gerik, Perak; Gua Musang, Kelantan dan Kuala Berang, Terengganu.


Sukarelawan MyCorps mengenal pasti masalah air yang dihadapi penduduk di Kampung Gulau, Sik, Kedah. - Foto Ihsan MyCorps

Lokasi berkenaan dipilih berdasarkan keperluan untuk projek pembangunan sosial seperti akses kepada air bersih, sanitasi yang sesuai serta mewujudkan persekitaran yang mapan untuk komuniti setempat.

Jurucakap kumpulan berkenaan, Sufian Said berkata, antara projek yang memberi impak besar kepada komuniti adalah projek ‘Aqueduct’ di Tongod, Sabah yang mana sukarelawan MyCorps membina semula, menggantikan, membaik pulih dan merangka semula sistem perpaipan di kampung mereka.

Katanya, projek itu berjaya memanfaatkan lebih 900 penduduk di empat kampung berbeza mendapatkan sumber air yang bersih selepas 10 tahun menanggung masalah air.


SUKARELAWAN MyCorps dengan kerjasama penduduk kampung berjayamenggunakan semula air di dalam tangki ini selepas 10 tahun air ini terbiar di dalam tangki di Kampung Mananam, Tongod, Sabah. - Foto Ihsan MyCorps

"Selain itu, di Kampung Charok Tenang, Sik, Kedah, 600 penduduk kampung turut mendapat manfaat selepas inisiatif sukarelawan MyCorps membaik pulih sistem perpaipan dan penapisan paip Air Masyarakat di Mukim Sok.

"Keadaan paip yang pada mulanya usang dan mempunyai banyak kebocoran serta kerap tersumbat disebabkan daun kering dan pasir dapat diatasi melalui projek ‘Aqua Ranger’ ini," katanya.

Katanya, selepas kejayaan lima misi dan menghantar sukarelawan belia Malaysia ke 10 negara, MyCorps kini dapat membawa perubahan di tanah air sendiri.

Program MyCorps Misi 6 @ Malaysia itu membabitkan penyertaan seramai 40 Sukarelawan terpilih selepas membuat permohonan melalui portal kesukarelawanan MyCorps di volunteer.mycorps.my.

Peserta yang terpilih melalui Latihan Pra-Penempatan di Kompleks Rakan Muda Kampar, Perak dan Pusat Belia Antarabangsa, Cheras, Kuala Lumpur selama 14 hari bermula pada November tahun lalu.

Mereka juga melalui latihan intensif yang dilengkapkan dengan modul yang komprehensif dan bersesuaian bagi menyediakan peserta untuk menjalankan projek penempatan.

176 dibaca
Berita Harian X