Selasa, 29 Januari 2019 | 11:01am
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman sambil disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semasa Majlis Perasmian dan Pelancaran Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. Turut sama Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ismail Bakar dan Ketua Pengarah Pusat Governans, Intergriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) Tan Sri Abu Kassim Mohamed. - Foto BERNAMA

NACP adalah pernyataan tegas kerajaan terhadap pesalah rasuah

PUTRAJAYA: Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 adalah satu pernyataan yang tegas dari kerajaan sekarang, iaitu pesalah yang lepas “telah dan sedang kita kejar” dan “akan kita hukum“, manakala perasuah sekarang dan masa hadapan akan berdepan dengan tindakan yang lebih tegas, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, pelan itu adalah satu bukti bahawa tindakan yang diambil terhadap perasuah-perasuah yang lepas bukanlah satu tindakan berlandaskan dendam atau benci.

“Ianya satu tindakan yang diambil kerana kerosakan yang mereka lakukan kepada negara amat besar dan tidak boleh dibiarkan supaya sesiapa yang merancang untuk melakukan rasuah seperti mereka tidak akan dibiarkan terlepas dan hukumannya adalah lebih berat dan tegas,” katanya ketika melancarkan NACP 2019-2023 itu di sini hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menteri-menteri Kabinet, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Abu Bakar, Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) Tan Sri Abu Kassim Mohamed, pegawai kanan kerajaan, wakil parti politik dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

NACP 2019-2023 dilaksanakan berdasarkan 22 strategi yang akan diberi keutamaan bagi enam sektor utama. Ia mengandungi 115 inisiatif antirasuah melibatkan sektor iaitu politik; perolehan awam; penguatkuasaan undang-undang; pentadbiran sektor awam; perundangan dan kehakiman; serta tadbir urus korporat.

Pelan yang dibangunkan GIACC dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan menetapkan sasaran yang praktikal berdasarkan inisiatif yang akan diambil oleh setiap agensi kerajaan dan swasta dalam menangani masalah rasuah, integriti dan tadbir urus untuk tempoh lima tahun akan datang.

Dr Mahathir berkata pelan anti rasuah nasional itu hadir sebagai peringatan dan amaran kepada semua pemimpin sekarang dan masa hadapan bahawa Malaysia dan rakyatnya tidak menerima amalan rasuah dan ia satu amalan keji dan menjijikkan.

Menurut Dr Mahathir, Pelan Integriti Nasional (PIN) yang diperkenalkan pada 2004 yang memberi fokus kepada pembudayaan integriti dalam kalangan masyarakat, tidak berupaya menyekat budaya rasuah.

Malahan, katanya, ia semakin menjadi-jadi selepas diperkenalkan sehinggalah beberapa tahun yang lepas apabila negara digelar sebagai sebuah kleptokrasi, satu label yang amat memalukan.

Menurutnya, kleptokrasi bermakna sebuah kerajaan yang dipimpin oleh perasuah dan pencuri harta negara yang mengeksploitasi harta negara dan rakyat untuk kepentingan peribadi.

"Label ini bukan dicipta oleh saya atau kerajaan yang saya pimpin. Ianya disebar oleh media-media luar negara setelah badan-badan berkuasa dari negara luar mendapati pemimpin yang lepas telah terbabit dalam pengubahan wang haram, rasuah dan penipuan secara berleluasa di satu tahap yang belum pernah terjadi sebelum itu,” katanya.

Di atas kesedaran itu, kerajaan tidak boleh sekadar mengingatkan rakyat mengenai kesalahan yang telah berlaku dan betapa buruk kesannya kepada negara sebaliknya perlu melihat ke hadapan dan mencari jalan memastikan supaya kerajaan baharu dan yang akan datang tidak akan mengulangi perbuatan rasuah itu, katanya.

Dr Mahathir juga berkata, adalah tidak mencukupi sekadar meletakkan kesalahan kepada kerajaan yang dahulu dan menjadikan ia sebagai ingatan.

"Sekadar niat tidak mahu melakukan rasuah dan janji mulut tidak memadai. Kita memerlukan pelbagai strategi, undang-undang serta sekatan-sekatan supaya ia dapat membendung rasuah dan menyukarkan mereka yang ingin melakukannya.

"Dan jika mereka berjaya melakukannya, kita mesti berupaya mengesan perbuatan itu dengan cepat dan selepas itu memastikan mereka mendapat hukuman yang tegas dan setimpal,” katanya.

Jika ada yang mengatakan bahawa kerajaan hari ini terlalu fokus kepada salah laku kerajaan terdahulu, Dr Mahathir menjelaskan bahawa NACP itu adalah gagasan masa hadapan dan yang perlu berhadapan dengan pelan itu adalah anggota pentadbiran kerajaan sekarang.

Beliau berkata pelan itu disediakan melalui satu proses yang mengambil kira aspirasi dan harapan rakyat Malaysia dalam perjalanan memerangi rasuah.

Ia bersandarkan bukti-bukti empirikal daripada hasil analisis kajian dan data tangkapan serta laporan audit yang terkini serta mengambil semangat yang terkandung dalam manifesto kerajaan Pakatan Harapan dan laporan daripada Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC), katanya.

Pelan itu juga mengambil pandangan dan maklum balas daripada semua ketua setiausaha kementerian, ketua jabatan selain perbincangan dengan pelbagai pihak yang difikirkan mampu membantu dalam usaha itu, katanya.

"Kita amat berharap pelan ini di dalam lima tahun akan datang akan berupaya mengekang budaya rasuah di dalam negara.

"Kita tahu ini bukan satu usaha yang akan tercapai dengan mudah dan cepat. Tetapi kita harus mulakan dengan meletakkan asas-asas dasar yang akan membentuk budaya dan sistem yang berteraskan governans dan integriti,” katanya. -- BERNAMA

Berita Harian X