Selasa, 29 Januari 2019 | 11:56am
- Gambar hiasan

NACP tumpu 6 bidang utama teras usaha banteras rasuah

KUALA LUMPUR: Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 iaitu pelan bersepadu yang julung kali digubal bagi menentang rasuah menggariskan enam bidang keutamaan yang menjadi teras dalam usaha pembanterasan rasuah di negara ini.

Bidang itu ialah Tadbir Urus Politik, Pentadbiran Sektor Awam, Perolehan Awam, Perundangan dan Kehakiman, Penguatkuasaan Undang-undang serta Tadbir Urus Korporat.

Berdasarkan enam bidang keutamaan ini, enam strategi turut dikenal pasti iaitu Mengukuhkan Integriti dan Kebertanggungjawaban Politik, Meningkatkan Keberkesanan Penyampaian Perkhidmatan Awam, Meningkatkan Kecekapan dan Ketelusan dalam Pemerolehan Awam.

Ia termasuk Meningkatkan Kredibiliti Sistem Perundangan dan Kehakiman, Menginstitusikan Kredibiliti Agensi Penguatkuasaan Undang-undang dan Memupuk Tadbir Urus yang Baik Dalam Entiti Korporat.

Strategi ini seterusnya membawa kepada 17 objektif strategik yang memayungi 115 inisiatif untuk dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Selain itu, NACP juga akan menumpukan aspek pemantauan dan penilaian (M&E) semua pemegang taruh bagi memastikan langkah dilaksanakan bersesuaian dengan objektif dirangka.

Proses M&E berupaya mengenal pasti jurang dalam pelaksanaan inisiatif atau program supaya setiap apa yang dirancang dapat diselaraskan dengan sewajarnya untuk mencapai hasil dihasratkan.

Visi NACP juga untuk mewujudkan negara bebas rasuah melalui penetapan tiga matlamat khusus iaitu Kebertanggungjawaban dan Kredibiliti Kehakiman, Pendakwaan dan Agensi Penguatkuasaan Undang-undang, Penyampaian Perkhidmatan Awam Yang Cekap dan Responsif serta Integriti Dalam Perniagaan.

Sementara itu, NACP akan menjadi rujukan utama kepada semua agensi kerajaan dan entiti berkaitan dalam membangunkan Pelan Antirasuah Organsiasi (OACP) masing-masing.

OACP membabitkan isu dalaman organisasi berkaitan kelemahan integriti, tadbir urus dan antirasuah yang harus ditangani.

Pelan bersepadu ini diwujudkan selaras Artikel 5 Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Memerangi Rasuah (UNCAC).

Dalam membangunkan NACP, Malaysia merujuk kepada Strategi Antirasuah Kebangsaan: Panduan Praktikal untuk Pembangunan dan Pelaksanaan oleh Pejabat PBB mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC).

Ia mendapat sokongan pemegang taruh khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Audit Negara.

Kerangka dasar dan strategi pelan ini terhasil daripada siri perbincangan dan perundingan dijalankan sektor awam serta swasta, komuniti perniagaan dan media, badan bukan kerajaan (NGO), pakar antirasuah dan ahli akademik.

Beberapa cadangan dan ulasan daripada beberapa inisiatif antarabangsa turut diambil kira dalam merangka pelan ini termasuk cadangan daripada Negara Kumpulan 20 (G20) serta saranan Kajian Pelaksanaan Konvensyen UNCAC.

Berita Harian X