Selasa, 29 Januari 2019 | 12:37pm
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika berucap melancarkan Pelan AntiRasuah Nasional (NACP) 2019-2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. NACP 2019-2023 dilaksanakan berdasarkan 22 strategi yang akan diberi keutamaan bagi enam sektor utama. Ia mengandungi 115 inisiatif antirasuah melibatkan sektor iaitu politik; perolehan awam; penguatkuasaan undang-undang; pentadbiran sektor awam; perundangan dan kehakiman; serta tadbir urus korporat. - Foto BERNAMA

NACP ganti Pelan Integriti Nasional (PIN), NKRA perangi rasuah

KUALA LUMPUR: Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 akan menggantikan Pelan Integriti Nasional (PIN) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) berkaitan rasuah dalam usaha kerajaan menetapkan matlamat jelas untuk mencapai visi nasional sebagai negara bebas rasuah dan mempunyai nilai integriti tinggi.

NACP menyediakan pelan lebih menyeluruh dan berupaya memberi impak positif yang berkekalan, selain mengambil kira pandangan pelbagai lapisan masyarakat berkenaan usaha pencegahan rasuah yang lestari di negara ini untuk lima tahun akan datang.

Sebagai pelan lima tahun, NACP akan memacu peningkatan ketelusan melalui penerapan prinsip integriti dan kebertanggungjawaban dalam semua sistem serta prosedur sama ada di sektor awam mahu pun swasta.

NACP juga diwujudkan selepas pandangan umum diambil berhubung isu kebebasan, hak, kesejahteraan dan ketidakstabilan ekonomi negara.

Dalam masa sama, pelan ini bertujuan menghapuskan penyalahgunaan kuasa, mengekang campur tangan politik, menghentikan kronisme dan nepotisme serta menghapuskan penyelewengan dan kelemahan tadbir urus.

Pelaksanaan dan penguatkuasaan inisiatif ini diyakini mampu meningkatkan tahap ketelusan dan integriti kerajaan, sekali gus meningkatkan persepsi antarabangsa terhadap Malaysia.

Dalam menyediakan pelan ini, beberapa bidang berisiko yang terdedah kepada perlakuan rasuah sudah dikenal pasti melalui kajian daripada pelbagai sumber dan sesi Perancangan Senario.

Hasilnya, NACP menggariskan sebuah kerangka yang memayungi strategi menyeluruh dalam memerangi rasuah.

Antara inisiatif dirangka termasuk memastikan setiap pemegang taruh menangani pemasalahan rasuah di organisasi masing-masing melalui pembangunan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP).

Bagi memastikan pelaksanaan pelan strategik berjalan, kerajaan membuat jangkaan melalui diagnosis awal masalah, ancaman dan cabaran rasuah melalui Penilaian Risiko Rasuah (CRA), selain langkah advokasi dengan cadangan dasar dan peraturan untuk mengatasi risiko rasuah dalam organisasi.

Garis panduan yang turut digunakan adalah persepakatan melalui kerjasama dan koordinasi antara pihak dalaman dan luaran termasuk mereka yang terbabit dalam pelaksanaan dasar.

Seterusnya, NACP dirangka berpandukan garis panduan tindakan yang mana pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang serta dasar dilaksanakan melalui penguatkuasaan undang-undang, pendekatan pencegahan dan pendidikan.

Untuk itu, organisasi perlu bertindak tegas dan adil dalam setiap tindakan untuk menghalang, mencegah dan memerangi rasuah pada semua peringkat berlandaskan prinsip perundangan serta undang-undang sedia ada.

Akhirnya, garis panduan untuk merangka NACP mengambil kira garis panduan akreditasi yang difokuskan kepada proses pemantauan dan penilaian (M&E) untuk memastikan semua dasar dan peraturan dipatuhi dan dilaksanakan sepenuhnya oleh individu dan organisasi.

Berita Harian X