Selasa, 29 Januari 2019 | 8:47pm
MENTERI Pertahanan, Mohamad Sabu, maklum Kertas Putih Pertahanan tiada maklumat sensitif pertahanan negara. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Kertas Putih Pertahanan tiada maklumat sensitif pertahanan negara

KUALA LUMPUR: Kertas Putih Pertahanan (KPP) bersifat umum dan tidak mengandungi maklumat sulit dan sensitif berhubung keselamatan negara.

Demikian tegas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berhubung pelaksanaan KPP yang akan dibentangkan di Parlimen, Julai ini.

“Panglima Angkatan Tentera akan menapis dahulu apakah perkara yang boleh didedahkan dan yang mana akan disebut sebagai dasar pertahanan.

“Kita nyatakan perkara yang umum sahaja mengenai dasar pertahanan, sebagai contoh, takkanlah kita mahu dedahkan yang kita guna peluru dua inci setengah, kita hanya nyatakan kita ada peluru,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Meja Bulat Peringkat Tertinggi KPP di Dewan Perkasa, Wisma Perwira, di sini, hari ini.

Mesyuarat dihadiri Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dan Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin; Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan Ketua Pengarah Keselamatan Negara, YM Tuan Haji Engku Hamzah bin Tuan Mat.

Selain itu, Mohamad berkata antara elemen yang akan dimasukkan di dalam KPP adalah usaha untuk memerangi unsur keganasan yang semakin berleluasa di rantau Asean.

“Kita lihat baru-baru ini ada kes pengeboman di selatan Filipina, kumpulan pengganas ini dilihat terus aktif.

“Jadi kita akan lihat soal keselamatan secara menyeluruh bersama rakan negara ASEAN,” katanya.

KPP adalah kertas putih yang pertama yang dibangunkan untuk memaklumkan rakyat mengenai keutamaan masa kini dan rancangan Kementerian Pertahanan di masa hadapan dalam mengukuhkan benteng pertahanan dan keselamatan negara.

Ia dijadualkan akan dibentangkan di Parlimen pada Julai depan sebelum diakses secara umum oleh orang ramai sekitar September.

352 dibaca
Berita Harian X