Rabu, 30 Januari 2019 | 6:13pm
KETUA Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah. - Foto Fariz Iswadi Ismail

Pengakuan sukarela PKPS diterima tanpa soalan - LHDN

KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan menerima pengakuan sukarela pembayar cukai yang menerima surat atau e-mel Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS), secara ‘suci hati’.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah, berkata pihaknya juga tidak akan membuat sebarang pertanyaan lanjut terhadap pengakuan sukarela itu.

Sehubungan itu, katanya, pembayar cukai yang menerima surat atau e-mel pemakluman itu tidak perlu bimbang, sebaliknya perlu segera menghubungi LHDN untuk maklumat lanjut.

Malah, katanya, mereka boleh mengabaikan pemakluman itu sekiranya sudah melaporkan pendapatan, perbelanjaan dan pelepasan cukai kepada kerajaan.

“Kira-kira 8.3 juta surat dan e-mel dikeluarkan LHDN kepada pembayar cukai berdaftar adalah makluman berkenaan PKPS yang bermula 3 November 2018 dan berakhir pada 30 Jun depan, seperti diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, dalam Belanjawan 2019.

“Pembayar cukai yang sudah melaporkan pendapatan, perbelanjaan dan pelepasan cukai kepada LHDN, serta yang membuat penyeteman (melunaskan bayaran duti setem) suratcara dalam tempoh ditetapkan boleh mengabaikan surat atau e-mel itu.

“Pengakuan sukarela yang dibuat dalam tempoh program ini akan diterima secara suci hati tanpa pertanyaan lanjut daripada pihak LHDN,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menerusi PKPS, pengakuan sukarela bagi pendapatan tidak dilaporkan yang dibuat bermula 3 November 2018 hingga 31 Mac 2019, hanya akan dikenakan 10 peratus penalti daripada jumlah cukai perlu dibayar,

manakala pengakuan daripada 1 April hingga 30 Jun tahun ini, dikenakan penalti sebanyak 15 peratus daripada jumlah cukai perlu dibayar.

Kadar penalti sebanyak 80 peratus hingga 300 peratus akan dikenakan selepas tempoh program khas itu berakhir pada 30 Jun ini.

PKPS merangkumi pembayar cukai berdaftar yang gagal mengemukakan borang berkaitan secara teratur, terdapat keraguan pada cukai diisytiharkan, serta pembayar duti yang gagal membuat penyeteman suratcara dalam tempoh yang ditetapkan.

Mengulas lanjut, Sabin berkata, program seperti PKPS turut dilaksanakan di lebih 20 negara, antaranya Amerika Syarikat (AS), Australia, Kanada, Jerman, Afrika Selatan dan Indonesia bagi memberi peluang kepada rakyat membuat pengakuan sukarela.

Beliau turut menasihatkan pembayar cukai supaya berhati-hati dengan sindiket penipuan yang dikesan mengambil kesempatan dengan pelaksanaan PKPS.

“Pembayar cukai boleh mendapatkan pengesahan dengan mengunjungi pejabat LHDN berhampiran, menghubungi kami di talian 1800-88-5436 atau 03-77136666 (luar negara), atau e-mel pertanyaan kepada [email protected],” katanya.

Berita Harian X