Jumaat, 1 Februari 2019 | 5:06pm
JABATAN Agama Islam Melaka (JAIM) menanam semula tujuh daripada 10 batu nisan lama dipercayai dari zaman Kesultanan Melayu Melaka yang ditemui penduduk di Lorong Bukit Ranting, Kampung Bukit Duyong. - Foto ihsan JAIM
JABATAN Agama Islam Melaka (JAIM) menanam semula tujuh daripada 10 batu nisan lama dipercayai dari zaman Kesultanan Melayu Melaka yang ditemui penduduk di Lorong Bukit Ranting, Kampung Bukit Duyong. - Foto ihsan JAIM

JAIM tanam semula batu nisan

MELAKA: Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menanam semula tujuh daripada 10 batu nisan lama dipercayai dari zaman Kesultanan Melayu Melaka yang ditemui penduduk di Lorong Bukit Ranting, Kampung Bukit Duyong di sini, bulan lalu.

Batu nisan itu yang sebahagiannya diperbuat daripada batu laterit, ditanam semula di Tanah Perkuburan Islam Kampung Duyong di sini, pada 26 Januari lalu, dua hari selepas ditemui, dengan kerjasama Jawatankuasa Masjid Duyong dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Duyong.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JAIM, Datuk Rahimin Bani, berkata keputusan itu dibuat susulan batu nisan berkenaan sudah dilonggokkan ketika ditemui oleh penduduk sehingga sukar untuk mengetahui kedudukan sebenar tapak perkuburan lama berkenaan.

“Sehubungan itu, kita memutuskan untuk menanam semula tujuh batu nisan lama itu di tapak perkuburan biasa. Tiada sebarang upacara khusus dibuat kerana ia hanyalah batu nisan yang ditemui tanpa kubur.

“Tiga lagi batu nisan lama diserahkan kepada Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) bagi tujuan kajian,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Rahimin turut memohon kerjasama orang awam untuk memaklumkan kepada pihak berkuasa jika menemui sebarang tapak perkuburan lama di dalam tanah milik persendirian.

“Ini bagi membolehkan kita memindahkan perkuburan lama secara tertib. Kita tidak mahu berulang lagi kejadian penemuan batu nisan lama yang dalam keadaan berselerak hingga tidak tahu di mana tapak asal perkuburan lama itu,” katanya.

NSTP pada 24 Januari lalu melaporkan 10 pasang batu nisan termasuk sebahagiannya diperbuat dari batu laterit yang dipercayai digunakan sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka, ditemui dalam keadaan berselerak di Lorong Bukit Ranting, Kampung Bukit Duyong.

Pengerusi Persatuan Sejarah dan Warisan Melayu Duyong (Pesawad), Khalid Hussin, dilaporkan berkata ribuan kubur lama di sekitar Duyong yang dipercayai wujud sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka berusia lebih 500 tahun yang menggunakan batu jenis laterit.

Kampung Duyong lama wujud dipercayai sejak tahun 1400 ketika era Kesultanan Melayu Melaka, malah pahlawan Melayu terkenal, Hang Tuah turut berasal dari kampung itu.

Sementara itu, PERZIM akan mengaturkan segera mesyuarat bersama agensi serta pihak berkaitan susulan penemuan batu nisan berkenaan.

Pengurus Besar PERZIM, Fadhilah Md Saleh, berkata mesyuarat yang dijangka dibuat pada pertengahan bulan ini bertujuan mengkaji anggaran usia sebenar batu nisan yang antaranya diperbuat daripada batu laterit serta nilai sejarahnya.

“Kita sedang mengaturkan mesyuarat untuk membabitkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Warisan Negara, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Melaka Heritage, pengkaji sejarah serta menjemput universiti berminat bagi membuat kajian berhubung penemuan ini.

“Malah, kita juga bercadang untuk menjemput Agensi Nuklear Malaysia bagi mendapatkan maklumat berhubung pentarikhan pada batu nisan yang ditemui, baru-baru ini,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X