Jumaat, 1 Februari 2019 | 11:35pm
Diskaun tol membabitkan lebuh raya BESRAYA, NPE dan LEKAS selain 10 peratus diskaun di Plaza Tol Ampangan di lebuh raya LEKAS. - Foto hiasan

Diskaun tol di lebuh raya BESRAYA, NPE, LEKAS

KUALA LUMPUR: Pihak Pengurusan Divisyen Tol IJM menawarkan diskaun tol sebanyak 20 peratus untuk kenderaan kelas satu di tiga lebuh raya kendalian syarikat konsensi itu bersempena perayaan Tahun Baharu Cina, 5 Februari ini.

Diskaun tol itu membabitkan Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), Lebuhraya Baru Pantai (NPE) dan Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) selain 10 peratus diskaun di Plaza Tol Ampangan di Lebuhraya LEKAS.

Ketua Pegawai Operasinya, Wan Salwani Wan Yusoff, berkata pemberian diskaun berkenaan akan berkuat kuasa bermula jam 12 tengah malam hingga 11.59 malam pada Selasa ini.

“Pemberian diskaun ini adalah​​​​​​​ sebagai inisiatif tanggungjawab korporat sempena perayaan Tahun Baharu Cina bagi pengguna lebuh raya yang ingin mengambil kesempatan bercuti bersama keluarga,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Bagi pengguna yang ingin menuju ke selatan, disaran menggunakan Lebuhraya LEKAS sementara ke pantai timur pula boleh menggunakan Lebuhraya BESRAYA melalui Plaza Tol Loke Yew untuk ke MRR2.

Pengguna lebuh raya juga boleh mengikuti Twitter @BESRAYAtrafik, @NPEtrafik dan @LEKAStrafik untuk merancang perjalanan. - BERNAMA

Berita Harian X