Rabu, 6 Februari 2019 | 4:06pm
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Guan Eng tidak keluar arahan umrah hanya melalui TH

PUTRAJAYA: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Kementerian Kewangan tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan atau arahan yang mewajibkan umat Islam di negara ini menunaikan umrah hanya melalui Lembaga Tabung Haji (TH).

Merujuk artikel bertajuk "Guan Eng Akan Bunuh Perniagaan Melayu" yang diterbitkan di portal berita Malaysia Today semalam, Kementerian Kewangan menegaskan tuduhan bahawa Guan Eng dan kementerian itu menghalang agensi pelancongan swasta atau bebas menawarkan pakej umrah adalah tidak berasas dan dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Artikel ini turut dipaparkan di laman Facebook Raja Petra Kamarudin (penulis blog) pada 4 Februari 2019. Laporan berita palsu ini disebarkan semata-mata untuk membangkitkan kemarahan orang ramai dan menghasut kebencian terhadap Menteri Kewangan bukan Islam kerana kononnya melakukan campur tangan dalam hal ehwal Islam," menurut kenyataan itu hari ini.

Menurut Kementerian Kewangan, ia sudah membuat laporan polis berhubung penyebaran maklumat palsu itu dan akan membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Ingin ditegaskan sekali lagi bahawa Menteri Kewangan dan Kementerian Kewangan tidak sekali-kali pernah mengeluarkan arahan seperti yang dinyatakan dalam artikel Malaysia Today. Tuduhan palsu ini berniat jahat, fitnah dan pembohongan," katanya.

Berita Harian X