Rabu, 6 Februari 2019 | 7:03pm
KEADAAN aliran trafik di Plaza Tol Gombak. - Foto BERNAMA

Aliran trafik perlahan di beberapa lebuh raya petang ini

KUALA LUMPUR: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan bergerak perlahan setakat jam 6 petang ini.

Menurut jurucakap PLUS Malaysia Berhad, aliran trafik di bahagian utara perlahan di Sungai Petani Utara menuju ke Sungai Petani Selatan, sebelum Plaza Tol Juru ke Bukit Tambun sehingga Jawi, Alor Pongsu ke Bukit Merah dan Bukit Berapit ke Kuala Kangsar sehingga ke Terowong Menora.

Beliau berkata trafik turut perlahan di Ipoh menuju Hentian Simpang Pulai, Gopeng ke Tapah, Bidor ke Sungkai sehingga Slim River dan Tanjung Malim menuju Bukit Tagar.

“Di selatan, trafik perlahan dari Simpang Renggam ke Senai, Pagoh ke Yong Peng sehingga Ayer Hitam dan Jasin menuju ke Simpang Ampat di Melaka.

“Selain itu, aliran trafik tinggi di Hentian Pedas Linggi menuju ke Port Dickson dan Bangi ke Kajang,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan LPT 2 di kedua-dua arah dilaporkan lancar setakat ini.

“Trafik hanya perlahan di Genting Sempah menuju Plaza Tol Gombak,” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik. – BERNAMA

Berita Harian X