Khamis, 7 Februari 2019 | 5:22pm

Trafik lebuh raya dijangka sesak hujung minggu ini

BENTONG: Jumlah kenderaan dari Pantai Timur ke ibu negara dijangka bertambah secara mendadak pada hujung minggu ini, iaitu 9 dan 10 Februari berikutan tamatnya cuti persekolahan sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

Pemegang konsesi Lebuhraya Pantai Timur (LPT), ANIH Berhad memaklumkan, pihaknya menjangkakan kesesakan di Lebuhraya Kuala Lumpur Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1).

Justeru, katanya pengguna yang merancang pulang pada dua hari berkenaan supaya menyemak Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang disediakan bagi melancarkan perjalanan seterusnya tiba ke destinasi dengan selamat.

“Sebanyak 1.6 juta kenderaan dianggarkan melalui KLK dan 553,000 di LPT 1 dari kedua-dua arah sepanjang waktu puncak cuti umum Tahun Baharu Cina iaitu antara 1 hingga 4 Februari serta 6 hingga 10 Februari.

“Ini bermakna, purata harian kenderaan yang melalui kedua-dua lebuh raya berkenaan untuk tempoh sama adalah sekitar 164,000 di KLK dan 55,300di LPT 1; meningkat 54 dan 50 peratus berbanding hari biasa,” katanya kepada BH.

Sementara itu, hasil tinjauan BH di sepanjang KLK mendapati aliran trafik masih terkawal di kedua-dua arah namun, berlaku sedikit kesesakan di Plaza Tol Gombak menuju ibu negara.

Bagi laluan menghala Pantai Timur pula, kesesakan berlaku kira-kira lima kilometer sehingga berhampiran susur masuk ke Genting Highlands selepas Plaza Tol Gombak tetapi aliran kembali lancar selepas itu.

Ini berikutan banyak kenderaan dilihat menuju ke taman tema itu berkemungkinan bagi menghabiskan baki cuti sebelum kembali bekerja pada Isnin depan.

ANIH Berhad turut memaklumkan kepada BH, sejak jam 6 pagi sehingga jam 3 petang tadi, dianggarkan 67,203 kenderaan melalui KLK manakala, di LPT 1, 23,036 kenderaan membabitkan kedua-dua arah.

“Aliran trafik dijangkakan bertambah bermula jam 4 petang ini hingga 12 tengah malam nanti,” katanya.

Beliau berkata, paparan skrin dikenali sebagai Highway Information System (HIS) turut disediakan di semua kawasan Rehat dan Rawat (RnR) sepanjang lebuh raya kendalian ANIH Berhad bagi kemudahan orang awam untuk mendapatkan status terkini aliran trafik serta maklumat keselamatan lain yang dikemaskini dari semasa ke semasa.

Katanya, info trafik dan maklumat terkini lain juga boleh diperoleh menerusi akaun rasmi Twitter LPT di @LPTTrafik dan juga Facebook di Lebuhraya Pantai Timur.

Selain itu, pengguna yang berdepan kecemasan boleh menghubungi talian LPT-Line di 09-547 9111 atau talian 24 jam di 1-700-818-700.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X