Jumaat, 8 Februari 2019 | 1:25pm
KETUA Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samita.
KETUA Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samita.

LHDN wujudkan PKPS untuk individu ada akaun bank di luar negara

KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mewujudkan Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) untuk individu yang memiliki akaun bank di luar negara dan masih gagal membuat pelaporan cukai yang sepatutnya.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah, berkata ia satu penyelesaian cukai terhadap mereka yang ada pendapatan dijana daripada hasil sumber pendapatan Malaysia yang boleh dicukai dan disimpan di akaun bank luar negara, namun pendapatan itu masih belum dilaporkan kepada LHDN.

Beliau berkata, surat dan e-mel dikeluarkan pihak LHDN disasar khusus kepada pembayar cukai memiliki akaun bank di luar negara yang masih gagal membuat pelaporan cukai sepatutnya.

“Pembayar cukai dalam kategori itulah yang diminta dalam surat dan e-mel LHDN untuk menghubungi dan melaporkan pendapatan kepada kami.

“Pihak kerajaan bersetuju memberi kelonggaran pengurangan bayaran penalti daripada 300 peratus kepada 10 peratus sekiranya pelaporan dibuat pada atau sebelum 31 Mac 2019, dan 15 peratus sekiranya pelaporan dibuat pada atau sebelum 30 Jun 2019,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sabin berkata, bawah inisiatif Pertukaran Maklumat Secara Automatik (AEOI) oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), LHDN menerima maklumat kewangan, khususnya pemilikan akaun bank dari luar negara, mulai September tahun lalu.

“Oleh itu, individu memiliki akaun bank di luar negara disaran segera hadir ke pejabat LHDN jika ada pendapatan belum dilaporkan,” katanya.

Dalam pada itu, Sabin berkata, LHDN juga sudah mengambil tindakan terhadap aduan diterima berhubung segelintir pegawai mereka menjalankan tugas secara tidak profesional, mengugut pembayar cukai dan tidak mengikut prosedur.

“Kami memberi jaminan bahawa aktiviti audit atau siasatan tidak akan membabitkan serbuan ke atas rumah pembayar cukai pada waktu malam.

“Sekiranya mengesan salah laku ini, pembayar cukai digalak membuat aduan dan kami tidak teragak-agak mengambil tindakan ke atas mana-mana pegawai LHDN,” katanya.

Berita Harian X