Jumaat, 8 Februari 2019 | 7:27pm

Aliran trafik perlahan di beberapa lebuh raya utama petang ini

KUALA LUMPUR: Aliran trafik dilaporkan perlahan di beberapa lebuh raya utama setakat 6.30 petang ini.

​​​​​​​Menurut jurucakap PLUS Malaysia Berhad, aliran trafik di bahagian utara bergerak perlahan dari Jambatan Pulau Pinang menuju ke Seberang Perai hingga ke Permatang Pauh, Kuala Kangsar ke kawasan Rehat dan Rawat Sungai Perak serta sebelum Terowong Menora ke Ipoh.

“Aliran trafik turut bergerak perlahan dari Ipoh ke arah Hentian Rehat Simpang Pulai, Gua Tempurung ke Slim River dan Bukit Beruntung ke Sungai Buaya,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata aliran trafik di bahagian selatan pula dilapor perlahan dari Pagoh ke Yong Peng, Simpang Renggam ke Kulai dan di Bangunan Sultan Iskandar dari Singapura menuju ke Malaysia.​​​​​​​

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) ketika dihubungi memaklumkan aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan 2 juga dilapor lancar di kedua-dua arah.

“Aliran trafik hanya perlahan selepas terowong Genting Sempah ke Plaza Tol Gombak hingga ke Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2),” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik. – BERNAMA

Berita Harian X