Rabu, 13 Februari 2019 | 1:49pm
Pengarah LHDN Sabah, Datuk Hajam Lajah Alam menyampaikan sumbangan kepada pelajar Sekolah Seri Mengasih pada Program CSR Kelab Hasil Bersama PPN Sabah sempena Tahun Baharu Cina di Wisma LHDN, Karamunsing. - Foto Khairull Azry Bidin

LHDN Sabah kutip RM51 juta menerusi program sukarela

KOTA KINABALU: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Sabah mengutip cukai sebanyak RM51.57 juta daripada 672 pembayar cukai menerusi Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) setakat Jumaat lalu.

Pengarahnya, Datuk Hajam Lajah Alam berkata, setakat ini sambutan terhadap program itu sangat menggalakkan di Sabah dan berharap lebih ramai pembayar cukai tampil.

“Setakat ini, lebih 600 pembayar cukai hadir ke LHDN dengan kutipan RM51.57 juta dan kebanyakannya di Kota Kinabalu.

“Sasaran kutipan untuk program PKPS saja di seluruh Sabah adalah sebanyak RM437 juta. Dijangka ada ramai lagi yang hadir kerana biasanya pembayar cukai datang pada saat akhir,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Tanggungjawab Sosial Sempena Sambutan Tahun Baharu Cina 2019 di perkarangan LHDN, di sini, hari ini.

Hajam meminta semua pembayar cukai terutamanya yang ada akaun di luar negara tampil untuk membayar cukai yang sepatutnya dibayar.

“Ambil peluang ini kerana ia program yang baik, hantar borang serta laporkan pendapatan dengan betul dan penalti dikenakan pun tidak banyak iaitu 10 peratus saja sehingga 1 April.

“Bagi fasa kedua, penalti dikenakan adalah sebanyak 15 peratus sehingga tempoh 30 Jun.

“Kita minta mereka tampil secepat yang boleh kerana tempoh program ini berakhir pada 30 Jun. Selepas itu, penalti akan dikenakan adalah lebih banyak iaitu minimum 80 peratus dan maksimum 300 peratus,” katanya.

Hajam berkata, LHDN Sabah mensasarkan kutipan cukai langsung bagi tahun ini adalah sebanyak RM4.390 bilion.

Pada majlis itu, seramai 20 kanak-kanak terdiri daripada golongan kurang upaya (OKU) dari Pusat Seri Mengasih diraikan dan diberi sumbangan sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Berita Harian X