Rabu, 13 Februari 2019 | 3:54pm
Zaki (tiga kanan) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian daripada 178 naskhah Al-Quran yang dirampas pada sidang media di Pejabat KDN Kedah, Anak Bukit. - NSTP/Sharul Hafiz Zam

KDN rampas 178 naskhah al-Quran

ALOR SETAR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) Kedah merampas 178 naskhah al-Quran bernilai RM23,140 di sebuah stor di Sungai Petani, Khamis lalu, selepas dikesan tidak mempunyai kelulusan.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PKK) KDN, Zaki Mohamed berkata, al-Quran itu dirampas hasil risikan anggota bahagian berkenaan selepas ia dijual secara berleluasa di laman sosial terutama Facebook.

Katanya, al-Quran itu dibimbangi kandungannya menyalahi sama ada dari segi ayat, baris dan boleh menyebabkan umat Islam salah membaca dan lari maksud.

“Al-Quran ini ada kandungannya yang turut dieja dalam tulisan rumi, Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum ini sudah mengharamkan sebarang ejaan ayat suci al-Quran dalam tulisan rumi.

“Pihak kami dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut mendapati al-Quran yang dirampas itu tidak mengikut resam Uthmani yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia,” katanya ketika ditemui dalam sesi taklimat pengenalan bahagian PKK di Pejabat KDN di sini, hari ini.

Selain itu, Zaki berkata, selain rampasan di stor, sebanyak 28 naskhah al-Quran tidak mempunyai kelulusan KDN turut dirampas di pejabat pos di negeri ini sepanjang bulan lalu.

Katanya, anggota bahagian terbabit melakukan pemeriksaan di pejabat pos dan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sempadan setiap hari bagi mengesan al-Quran yang tiada kelulusan.

“Orang ramai boleh melihat sama ada al-Quran yang dibeli itu mendapat kelulusan atau tidak menerusi cop dan hologram KDN. Jika tiada kelulusan jangan beli, sebagai umat Islam kita harus bertanggungjawab supaya ibadah kita tidak sia-sia.

“Bagi penjual al-Quran yang tiada kelulusan KDN pula, mereka boleh dituduh mengikut Seksyen 8(1)(d) Akta Percetakan Teks Al-Quran 1986 yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM20,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Berita Harian X