Khamis, 14 Februari 2019 | 5:07pm
MENTERI Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Gobind Singh Deo. - Foto Muhammad Sulaiman

Perangi 'lanun digital' dengan undang-undang - Gobind

PUTRAJAYA: Sistem perundangan khas bagi memerangi penularan kegiatan ‘lanun digital’ akan digubal menerusi kerjasama dan bidang kuasa beberapa kementerian.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, menyifatkan sindiket cetak rompak versi baharu yang mengaut keuntungan mudah menerusi pasaran kandungan digital kini semakin agresif, malah tidak gentar dengan perundangan sedia ada.

Sehubungan itu, katanya, usaha agresif dengan meminda undang-undang berkaitan bagi memastikan tindakan punitif, iaitu denda atau penjara yang lebih setimpal akan dirangka dalam tempoh terdekat.

“Usaha ini masih di peringkat perbincangan kementerian saya, justeru kita akan mengadakan pertemuan dengan pemegang taruh dan pihak berkepentingan supaya penyelesaian yang dirangka bersifat menyeluruh.

“Rungutan yang diajukan kepada saya ialah, setiap kali aduan dibuat, ia ditolak dari satu agensi ke agensi lain, justeru ramai hilang kepercayaan terhadap sistem ini.

“Apabila tindakan diambil, kita lihat masalah ini sudah menjadi polemik yang sukar dikawal. maka cadangannya ialah bagaimana untuk bawa semua agensi berkaitan supaya diletakkan di bawah satu kementerian,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas hadir merasmikan Persidangan Anticetak Rompak Kandungan Digital Kuala Lumpur, anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), di sini.

Yang turut hadir, Pengerusi SKMM, Al-Ishsal Ishak; Timbalan Pengarah Penguatkuasaan (Operasi Khas) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Bhd, Datuk Kamal Khalid.

Menerusi cadangan terbabit, Gobind berkata, penyelesaian membabitkan tindakan perundangan dan langkah selanjutnya akan dikendalikan agensi tunggal berkenaan, sekali gus merungkai rungutan penggiat industri yang menyifatkan diri mereka ‘ditendang’ ibarat bola.

“Selain agensi terbabit, kita kena lihat proses kehakiman, termasuk tempoh pendakwaan yang lebih berkesan supaya ia berupaya mencegah masalah sama daripada berulang.

“Kalau nak selesaikan masalah ini, pertama, aduan dibuat kepada agensi tertentu yang mempunyai kuasa untuk ambil tindakan dan siasat, kemudian bawa ke mahkamah dengan bidang kuasa khusus bagi menyelesaikan isu berkenaan dalam tempoh terdekat.

“Kita bincang di peringkat kementerian, sebelum bentangkan perincian ini kepada Kabinet,” katanya sambil menjelaskan tiada perundangan baharu bakal digubal, sebaliknya lebih kepada pindaan peruntukan berkaitan.

Gobind berkata, pindaan undang-undang berkaitan perlu dilaksanakan bagi memperkukuhkan usaha penguatkuasaan, termasuk menyekat laman web yang dikesan menyiarkan kandungan digital tanpa lesen.

Katanya, matlamat utama ke arah tindakan agresif berkenaan ialah supaya sindiket lanun digital di Malaysia akhirnya takut untuk meneruskan operasi sehingga menyaksikan tiada penawaran perkhidmatan kepada pengguna.

“Apabila kita putuskan rantaian penawaran dan pembekalan ini, isu berkaitan lanun digital dan cetak rompak berupaya dibendung secara menyeluruh,” katanya.

Terdahulu, Gobind ketika menyampaikan ucaptama perasmian menjelaskan syarikat keselamatan platform digital, Irdeto, mendapati Malaysia merekodkan perkongsian kandungan lanun digital kedua terbesar di Asia Tenggara, berkadar 17 peratus pada 2016.

Selain itu, katanya, pengguna internet di negara ini dikesan memuat turun 84 juta kandungan fail merangkumi rancangan televisyen dan filem menerusi perisian Bittorent.

“Perangkaan ini menunjukkan industri media dan hiburan tempatan yang selama ini menyumbang berbilion ringgit kepada hasil negara menerima tempias terlalu hebat,” katanya.

170 dibaca
Berita Harian X