Ahad, 17 Februari 2019 | 10:25am
KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN).

'Al-Quran dijual dalam talian tiada kelulusan KDN'

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memantau modus operandi tiga pihak yang menjual al-Quran secara dalam talian di negara ini, tanpa mendapat kelulusan kementerian.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Mohd Nawardi Saad berkata sebahagian besar naskhah al-Quran yang dijual secara dalam talian datang dari negara jiran yang didapati tidak memenuhi syarat dari segi standard percetakan di Malaysia.

“Siasatan kami mendapati penjual atau ejen terbabit membeli al-Quran ini dari negara jiran, yang sebahagian besarnya tidak memohon lesen import daripada KDN, sekali gus tidak dapat disemak oleh kami.

“Di Malaysia, percetakan naskhah al-Quran kita adalah berdasarkan kepada sistem percetakan Arab Saudi yang dipanggil Rasm Uthmani, tetapi negara tetangga kita mempunyai standard percetakan berbeza.

“Dari segi tanda ‘waqaf’ (tanda untuk menghentikan bacaan sebentar) dan ‘ibtida’ (tanda untuk menyambung semula bacaan) juga berbeza, daripada apa yang kita gunakan di sini,” katanya kepada BERNAMA.

Beliau menegaskan, mereka yang menjual naskhah al-Quran tanpa kelulusan KDN boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 8 (1) (d) Akta Percetakan Teks Al-Quran 1986, yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya.

Mohd Nawardi berkata, pihaknya belum membuat sebarang tangkapan tetapi aktiviti pihak terbabit kini dalam pemerhatian bahagian itu, di samping mengumpulkan maklumat dan bukti sebelum mengambil tindakan.

Beliau berkata, pemeriksaan akan terus dibuat di premis perniagaan, pejabat pos dan pintu masuk negara untuk memastikan tiada naskhah al-Quran tanpa kelulusan KDN dijual kepada orang ramai.

Katanya, naskhah al-Quran yang mendapat kelulusan KDN mempunyai cetakan cop khas berwarna biru dalam tulisan jawi, ‘Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Percetakan Al-Quran memperakui bahawa ayat-ayat Al-Quran yang terkandung di dalam teks ini adalah betul’, manakala KDN menambah ciri baharu dengan kod QR dan hologram.

Pada 7 Februari lalu, sejumlah 178 naskhah al-Quran tanpa kelulusan KDN dirampas dari sebuah premis di Sungai Petani, Kedah.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim, berkata naskhah al-Quran dengan kelulusan KDN menjalani pemeriksaan yang ketat dan bebas daripada kesilapan percetakan.

Katanya, JAKIM mengalu-alukan tindakan KDN menangani isu itu dan menekankan hanya naskhah al-Quran yang mendapat kelulusan KDN boleh digunakan di negara ini.

Seorang pemilik kedai buku agama tempatan, Muhammad Isa, berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pesalah yang menjual al-Quran tanpa kelulusan KDN.

Beliau berkata, adalah tidak adil kepada pemilik kedai buku agama yang perlu mematuhi pelbagai proses ditetapkan pihak berkuasa sebelum boleh menjual al-Quran dengan kelulusan KDN, sedangkan mereka yang menjual secara dalam talian dengan mudah boleh melangkau proses berkenaan.

“Saya harap KDN boleh menangkap mereka dan mengenakan hukuman berat kepada mereka,” katanya. – BERNAMA

Berita Harian X