Ahad, 17 Februari 2019 | 12:10pm
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun ketika sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Ahli SPR yang baharu dilantik di Menara Suruhanjaya Pilihan Raya, semalam. - Foto BERNAMA

'Belanja pengundi makan, minum satu kesalahan'

KUALA LUMPUR: Semua calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih diingatkan, perbuatan ‘membelanja’ pengundi dengan memberi makanan atau minuman untuk meraih undi adalah kesalahan mengikut undang-undang.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun, berkata tindakan itu tersenarai sebagai satu kesalahan dalam pilihan raya.

“Saya hendak ingatkan penganjur tentang Seksyen 8 Akta Kesalahan Pilihan Raya (1954) iaitu kesalahan ‘treating’ (belanja).

“Pemberian makanan atau minuman untuk mempengaruhi pengundi supaya mengundi atau tidak mengundi seseorang calon adalah satu kesalahan,” katanya menerusi ciapan dalam akaun Twitter rasminya, @artharun, hari ini.

Komen berkenaan adalah kenyataan balas Azhar terhadap seorang pengguna Twitter yang memuat naik poster calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zainali, mengajak orang ramai menghadiri majlis Santai BBQ bersamanya, malam ini.

Undangan umum itu dibuat menerusi akaun Twitter rasmi Pejabat Timbalan Ketua AMK Malaysia (@TimbalanSetia).

Bagaimanapun, ciapan asal yang memaparkan poster berkenaan didapati sudah dipadamkan selepas Azhar membuat komen mengenainya.

Susulan teguran Azhar itu, akaun @TimbalanSetia memuat naik ciapan berbunyi: “Setelah mendapat teguran dari Suruhanjaya Pilihanraya @sprgovmy, aktiviti program akan dipinda dan ditukar kepada acara lain. Santai BBQ dibatalkan. Hebahan program gantian akan menyusul.”

PRK DUN Semenyih akan berlangsung pada 2 Mac ini, membabitkan persaingan empat penjuru.

Selain Muhammad Aiman, 30, yang menjadi taruhan mempertahankan kerusi PH menerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), turut bertanding ialah Zakaria Hanafi, 58, mewakili Barisan Nasional (BN), Nik Aziz Afiq Abdul, 25, (PSM) dan Kuan Chee Heng, 56, selaku calon Bebas.

1154 dibaca
Berita Harian X