Ahad, 17 Februari 2019 | 10:45pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menghadiri Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baharu Cina 2019 di Dataran Centrio, Seremban 2 , malam ini. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Dr Mahathir, isteri hadir rumah terbuka Tahun Baharu Cina

SEREMBAN: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, menghadiri Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baharu Cina 2019 di Dataran Centrio, Seremban 2 di sini, malam ini.

Ketibaan Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah pada jam 8.45 malam disambut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi; Menteri Pengangkutan yang juga Anggota Parlimen Seremban, Anthony Loke serta Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith.

Turut sama menyambut ketibaan Perdana Menteri dan isteri ialah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan isteri Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof serta barisan Exco kerajaan negeri.

Dr Mahathir kemudiannya melancarkan majlis rumah terbuka berkenaan yang dihadiri ribuan pengunjung yang mula membanjiri dataran itu seawal jam 6 petang tadi.

Pada majlis itu, hadirin turut dihiburkan dengan persembahan khas Tahun Baharu Cina 2019 daripada Kumpulan Gendang 24 Perayaan dan Kumpulan Tarian Singa Muar yang juga kumpulan tarian singa terbaik di dunia.

Selain itu, para pengunjung juga disajikan juadah makanan tradisi masyarakat Cina bermula jam 6 petang. - BERNAMA

Berita Harian X