Selasa, 19 Februari 2019 | 2:23pm
SPAN) sentiasa memantau paras semua sungai dan empangan yang menjadi sumber air minum. - Foto hiasan
SPAN) sentiasa memantau paras semua sungai dan empangan yang menjadi sumber air minum. - Foto hiasan

Paras air sungai, empangan merosot, SPAN pantau bekalan air

illahhafiz.abdulaziz

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sentiasa memantau paras semua sungai dan empangan yang menjadi sumber air minum sepanjang musim kering yang dijangka berlarutan hingga hujung bulan depan.

SPAN juga meminta operator air untuk melaporkan keadaan bekalan air di negeri masing-masing setiap hari.

Pengerusi SPAN, Charles Santiago, berkata cuaca kering dan kekurangan hujan dikesan mengakibatkan kemerosotan paras air di sungai dan empangan yang membekalkan sumber air mentah kepada loji rawatan air.

“Keadaan bekalan air di semua negeri di Semenanjung Malaysia dan Labuan bagaimanapun masih dalam keadaan terkawal.

“Seperti yang diramalkan Jabatan Meteorologi Malaysia, sepanjang tempoh Februari 2019, kebanyakan tempat di Semenanjung dijangka mengalami cuaca yang agak kering dengan jumlah taburan hujan yang kurang hingga penghujung akhir Monsun Timur Laut pada bulan Mac.

“Sebagai badan yang mengawal selia perkhidmatan bekalan air di Semenanjung Malaysia dan Labuan, kami sentiasa memantau rapi keadaan bekalan air yang dibekalkan kepada pengguna terutama semasa cuaca panas ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Kami akan melaporkan keadaan bekalan air kepada semua pengguna di Semenanjung Malaysia dan Labuan melalui media dari semasa ke semasa sepanjang cuaca panas ini,” katanya.

Sehubungan itu, Charles turut menasihati pengguna untuk berhemah ketika menggunakan air dengan mengelakkan pembaziran untuk tujuan yang kurang penting supaya sumber air sedia ada dapat bertahan lebih lama.

“Jika ada sebarang kebocoran paip, laporkan kepada operator air di negeri masing-masing atau SPAN bagi mengelakkan pembaziran,” katanya.

Berita Harian X