Khamis, 21 Februari 2019 | 12:05am
MENTERI Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melihat lukisan yang dipamerkan pada program ‘Painting From The Heart: Art For Good’ di Kuala Lumpur, semalam. - Foto BERNAMA

Lapor jika kesan penjualan al-Quran tanpa kelulusan KDN - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu umat Islam proaktif dan tampil membuat laporan sekiranya mengesan ada penjualan naskhah al-Quran yang tidak mendapat kelulusan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Beliau berkata, pihaknya menjalankan penguatkuasaan berterusan bagi memastikan al-Quran yang tidak mendapat kelulusan KDN, tidak dijual dalam pasaran tempatan sama ada bercetak mahupun secara dalam talian.

“Kita pandang berat perkara ini kerana tidak mahu penyelewengan berlaku. Justeru, umat Islam mesti berjaga-jaga daripada menggunakan al-Quran yang tidak diluluskan ini.

“Kadang-kadang untuk online, susah kita nak siasat, namun kalau dia (pengadu) syak al-Quran yang dibeli itu tidak betul, boleh minta (bantuan) pihak berkuasa untuk kita hantar panel semak perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program ‘Painting From The Heart: Art For Good’, di sini, semalam.

Muhyiddin menegaskan, umat Islam perlu lebih berhati-hati kerana al-Quran yang tidak diluluskan tidak boleh diguna pakai berikutan cara pembacaan dan pencetakannya berbeza dengan al-Quran resam Uthmani yang dipakai negara.

Beliau berkata, KDN hanya meluluskan al-Quran al-Karim resam Uthmani yang ada cap khas dalam Jawi dengan warna biru tertera perkataan ‘Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran memperakui bahawa ayat-ayat Al-Quran yang terkandung dalam teks ini adalah betul’, selain memasukkan ciri baharu, iaitu kod QR dan hologram.

Isnin lalu, Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PKK) KDN Selangor merampas 5,050 unit al-Quran yang tidak diluluskan bernilai RM502,800 di kawasan Zon Bebas Pelabuhan Utara Klang, yang dipercayai dibawa masuk dari Indonesia untuk pasaran tempatan dan dijual secara dalam talian. – BERNAMA

Berita Harian X