Khamis, 21 Februari 2019 | 7:04pm
Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah. - NSTP/Saddam Yusoff
Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah. - NSTP/Saddam Yusoff

171,858 pembayar cukai 'serah diri' kepada LHDN

KUALA LUMPUR: Seramai 171,858 pembayar cukai ‘menyerah diri’ kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menerusi Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS), setakat 14 Februari lalu.

Data itu diperoleh sejak program itu dilaksanakan pada awal November lalu dan bakal berakhir 30 Jun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah, berkata pembayar cukai yang tampil terdiri daripada pelbagai kategori antaranya pemilik syarikat dan individu.

“Bagi mereka yang belum datang, kami akan terima penerangan mereka dengan suci hati tanpa pemeriksaan.

“Biarpun program bermula pada November (tahun lalu), memang agak senyap. Namun, jumlahnya (pembayar cukai) mula menunjukkan peningkatan pada Januari.

“Biasalah, rakyat Malaysia suka tunggu dan lihat. Mereka mahu lihat ramai atau tak ambil bahagian. Apa pun, saya jangka pada Mac ini, jumlah akan meningkat,” katanya ketika ditemui di Kolokium Pengarah LHDN Bersama Media, hari ini.

PKPS adalah program bertujuan menggalakkan pembayar cukai untuk tampil mengisytihar pendapatan secara sukarela di mana-mana pejabat LHDN seluruh negara bermula 3 November 2018 hingga 30 Jun 2019.

Mengulas individu yang mempunyai akaun di luar negara, Sabin berkata, LHDN menerima maklumat kewangan rakyat Malaysia melalui kerjasama dengan 108 negara.

Beliau berkata penyaluran maklumat itu berlaku setiap tahun dan ia selaras dengan perjanjian ditandatangani Malaysia dengan negara berkenaan.

“Bermula September tahun lalu, LHDN mula menerima maklumat kewangan rakyat Malaysia yang mempunyai akaun di luar negara.

“Penyaluran maklumat ini adalah selaras dengan perjanjian yang ditandatangani oleh negara kita melalui MCAA (Perjanjian Multilateral Pihak Berkuasa Berwibawa) yang ditandatangani lebih 108 negara antaranya Singapura, India termasuk negara di benua Eropah.

“Perjanjian itu membolehkan negara berkenaan bertukar maklumat dengan institusi kewangan misalnya di Singapura. Selepas itu, mereka akan salurkan maklumat kewangan rakyat Malaysia kepada pentadbir cukai di Singapura dan seterusnya disalurkan kepada LHDN,” katanya.

Berita Harian X