Sabtu, 23 Februari 2019 | 12:29pm
KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Kanak-kanak maut akibat difteria tak pernah terima imunisasi - Dr Noor Hisham

PUTRAJAYA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun satu bulan di Johor Bahru meninggal dunia disyaki akibat jangkitan difteria pada 21 Februari lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kanak-kanak berkenaan tidak pernah menerima sebarang imunisasi sejak lahir.

“Kanak-kanak itu mula mengalami demam, batuk dan bengkak tonsil pada 16 Februari lalu.

“Dia dibawa ke unit kecemasan hospital pada 18 Februari lalu dalam keadaan lemah dan dimasukkan ke unit rawatan rapi paediatrik untuk bantuan pernafasan serta rawatan antitoksin difteria.

“Malangnya, kanak-kanak berkenaan tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia semalam dengan sebab difteria yang teruk dan kegagalan multiorgan.

“Ujian pengesanan ke atas sampel calitan tekak kes menunjukkan kehadiran bakteria corynebacterium diphtheriae dan pihak kementerian kini menunggu keputusan makmal untuk pengesahan toksin difteria,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, penyakit difteria disebabkan oleh jangkitan bakteria corynebacterium diphtheriae yang menyebabkan gejala sakit tekak dengan selaput di dalam tekak, bengkak tonsil dan kemungkinan berlaku komplikasi bacteremia (jangkitan darah) serta endokarditis (jangkitan pada jantung) sehingga menyebabkan kegagalan organ, yang seterusnya boleh membawa maut.

“Pemberian imunisasi difteria dapat mengelak daripada jangkitan atau jika terkena jangkitan, gejala adalah lebih ringan dan tiada komplikasi.

“Kementerian Kesihatan mengambil tindakan bagi membendung penularan jangkitan ini termasuk pencarian kes secara aktif di kawasan kediaman kes, pemberian imunisasi dan pendidikan kesihatan.

“Tahun ini, sehingga kini terdapat satu kes difteria yang disahkan di Malaysia. Tahun lalu, sebanyak 18 kes dengan lima kematian dilaporkan di Malaysia, yang mana empat daripada lima kematian ini tidak menerima imunisasi.

“Kesemua kematian difteria bagi tahun lalu membabitkan kanak-kanak di bawah usia 10 tahun,” katanya.

Sehubungan itu, tambah beliau, Kementerian Kesihatan menasihati orang awam terutama ibu bapa, supaya sentiasa berwaspada terhadap penyakit berjangkit yang boleh dicegah melalui imunisasi seperti difteria, demam campak (measles), batuk kokol (pertussis) dan lain-lain.

“Pastikan anak anda diberikan imunisasi kerana ia adalah cara pencegahan penyakit yang berkesan dan selamat selain perkhidmatan itu boleh diperoleh daripada klinik kesihatan kerajaan dan swasta.

“Kegagalan memberikan imunisasi kepada kanak-kanak bukan saja mendedahkan anak anda kepada jangkitan kuman, malah boleh membahayakan kanak-kanak lain.

“Ibu bapa yang belum memberikan imunisasi kepada anak mereka dinasihatkan tampil untuk mendapatkan imunisasi mengikut jadual yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan, bagi kanak-kanak yang tercicir suntikan, boleh segera mendapatkan perkhidmatan imunisasi di mana-mana fasiliti kesihatan yang terdekat,” katanya.

Berita Harian X