Isnin, 25 Februari 2019 | 4:44pm
YEO Bee Yin ketika menjalankan pemeriksaan sempena Operasi Khas Bersepadu Premis Kitar Semula Plastik Negeri Sembilan di Kawasan Perindustrian Ringan Senawang. - Foto Iqmal Haqim Rosman

140 kilang kitar semula sisa plastik diarah tutup

SEREMBAN: Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menutup dan menahan operasi 140 kilang kitar semula sisa plastik yang didapati beroperasi secara haram dan tidak mengikut peraturan ditetapkan.

Menteri, Yeo Bee Yin, berkata dalam operasi bersepadu yang dijalankan sejak Januari lalu, pihaknya sudah menjalankan pemeriksaan terhadap 274 kilang di seluruh negara.

Sebanyak 109 dikesan menjalankan operasi secara haram, manakala 31 mempunyai lesen tetapi tidak mematuhi peraturan ditetapkan.

“Semua kilang yang diarah tutup dan ditahan operasi itu dikesan melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 termasuk pencemaran air, bunyi dan udara,” katanya selepas mengetuai Operasi Khas Bersepadu di tiga kilang di Kawasan Perindustrian Senawang di sini, hari ini.

Bee Yin berkata, daripada jumlah kilang yang sudah ditutup itu, pihaknya sudah membuka 48 kertas siasatan manakala empat kilang sudah dijatuhi hukuman saman sebanyak RM389,000 serta penjara sehari.

“Sebanyak 44 lagi kilang akan didakwa di mahkamah dan dijangka dikenakan hukuman saman berjumlah RM3 juta serta penjara,” katanya.

Mengulas mengenai hukuman yang dikatakan tidak terlalu berat, beliau berkata pihaknya kini dalam proses menambah baik akta sedia ada supaya penguatkuasaan lebih baik.

“Ada pihak yang minta akta, polisi dan undang-udang sedia ada dibuat baru tetapi bagi saya jika dapat dikuatkuasakan yang sedia ada sudah cukup baik. Bagaimanapun ketika ini kita memang dalam proses untuk menambahbaik akta sedia ada,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, kerajaan sudah mengharamkan kemasukan sisa plastik untuk kitar semula sejak Julai tahun lalu, bagaimanapun 750,000 tan metrik sisa plastik sudah masuk ke negara ini sejak tahun 2017.

Justeru katanya, pihaknya ketika ini sedang giat menjalankan operasi bagi menghapuskan sisa plastik itu yang sekali gus dapat mengatasi masalah pencemaran.

“Operasi ini akan turut dijalankan di pelabuhan (bagi mengesan kemasukan sisa plastik) walaupun akan berdepan pelbagai cabaran dan saya menjangkakan pertengahan tahun ini semua sisa ini akan dapat dilupuskan sepenuhnya,” katanya.

Usaha memastikan tiada lagi kilang kitar semula sisa plastik beroperasi secara haram atau tidak mengikut peraturan dapat dilakukan dengan adanya jawatankuasa khas di setiap negeri yang diwujudkan sejak bulan lalu, tambahnya.

Katanya, jawatankuasa yang dipengerusikan oleh setiap EXCO Alam Sekitar itu dapat menjalankan penguatkuasaan di peringkat negeri dengan dipantau oleh kementerian.

“Saya nasihatkan kepada orang ramai atau mana-mana pihak yang mengetahui mengenai kewujudan kilang kitar semula sisa plastik atau operasi kilang yang mencurigakan di kawasan masing-masing supaya membuat laporan segera supaya tindakan dapat diambil,” katanya.

Sementara itu dalam operasi sama Jabatan Imigresen memeriksa 86 warga India, China dan Bangladesh dan menahan 82 orang daripadanya kerana melakukan pelbagai kesalahan.

Semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

465 dibaca
Berita Harian X