Rabu, 27 Februari 2019 | 6:57pm
PENGERUSI Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun. - NSTP/Asyraf Hamzah

Usaha SPR padamkan persepsi negatif terhadap undi pos

Oleh Che Wan Badrul Alias dan Mohd Nasaruddin Parzi

cnews@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Tempoh berkempen munasabah, kajian semula senarai agensi terbabit undi pos dan pengisytiharan awal jumlah undi pos akan menjadi penambahbaikan utama memperbaiki persepsi negatif ketidakpercayaan terhadap undi pos.

Ia dimaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas melihat pengumpulan maklumat BH selama lima bulan mengenai punca yang menghalang sistem undi pos Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dalam memastikan keseluruhan kira-kira 230,000 pengundi pos berdaftar menunaikan tanggungjawab.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun, berkata undi pos dipalit pelbagai persepsi dimanipulasi apabila SPR dituduh mengumpulkan dan menambah undi pos untuk dihantar ke kawasan hampir kalah pilihan raya.

Justeru, bagi menghapuskan persepsi itu, katanya, SPR nekad menjadikan pilihan raya lebih telus dengan tiada ruang dimanipulasi, termasuk mengisytiharkan senarai pengundi pos dan jumlah undi pos setiap kawasan pada hari penamaan calon.

“Penyelesaiannya mudah, kita umumkan nama undi pos, ke mana ia dihantar dan ejen kawasan terbabit boleh semak jumlah undi pos yang diterima sama atau tidak dengan laman web kami. Bahkan proses ini juga akan ditayangkan secara langsung dalam talian.

“Apabila ketidakpercayaan kepada SPR itu terlampau besar jurangnya, maka semua yang dilakukan tak bagus dan dikatakan memiliki motif.

“Ia masalah yang menyeluruh. Kita akan perhatikan semua ini. Berikan saya sedikit masa sebab kini terlalu banyak isu dihadapi SPR,” katanya dalam temu bual bersama BH di sini, baru-baru ini

Berdasarkan penemuan kajian BH, kegagalan sistem undi pos pada PRU-14 dipercayai menyebabkan lonjakan data tidak rasmi kertas undi tidak dikembalikan sebanyak 55,000 untuk Parlimen; manakala Dewan Undangan Negeri (DUN) kira-kira 48,000 undi.

Angka itu hampir sekali ganda lebih tinggi berbanding jumlah undi tidak dikembalikan pada PRU 2013 hanya membabitkan kira-kira 28,000 untuk Parlimen dan 25,000 untuk DUN, berdasarkan laporan PRU-13.

Selain kajian data pilihan raya, hasil siasatan turun padang BH turut menemui kelemahan dan kepincangan sistem undi pos PRU-14 yang berada dalam bidang kuasa SPR untuk diperbaiki, termasuk penetapan tempoh berkempen singkat iaitu 11 hari berbanding kebiasaannya 14 hari.

Tempoh terlalu singkat itu diburukkan lagi dengan tindakan SPR membuka sembilan kategori baharu bagi pengundi pos PRU-14 menyebabkan pertambahan lambakan kira-kira 50,000 pengundi pos baharu perlu diurus selepas tamat penamaan calon termasuk pencetakan, pengeluaran kertas undi, penghantaran kepada pengundi dan pemulangan.

Temubual BH dengan pegawai pengurus pilihan raya (RO) selepas PRU-14 turut mendedahkan masalah di luar kawalan SPR membabitkan kecekapan petugas ‘paksa-rela’ yang tidak faham keperluan mendesak mengeluarkan segera undi pos kepada semua senarai nama pengundi pos kawasan terbabit.

Sikap bertangguh sehingga waktu akhir itu mencetuskan kekalutan di beberapa kawasan apabila terdapat petugas mengakui hanya selesai mengeluarkan undi pos sehari sebelum hari mengundi untuk dihantar kepada pengundi dalam dan luar negara.

Mengulas lanjut, Azhar berkata, pihaknya sudah meminta sekretariat menyediakan laporan bagi mendapatkan pandangan menyeluruh isu undi pos tidak sampai kepada pengundi ketika PRU-14.

Katanya, laporan terbabit bukan untuk menghukum mana-mana pihak yang terbabit sebelum ini, sebaliknya bertujuan mencari jalan penyelesaian menambah baik sistem undi pos.

“Saya meletakkan empat kategori penambahbaikan yang ingin dicapai iaitu penambahbaikan tanpa sebarang pindaan yang mana kuasa sepenuhnya pada saya; penambahbaikan yang perlu pindaan peraturan; penambahbaikan memerlukan penggubalan undang-undang baharu; dan penambahbaikan yang memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan.

“Maka penambahbaikan undi pos ini jatuh dalam kategori penambahbaikan yang perlu kepada pindaan peraturan; dan kategori satu iaitu penambahbaikan yang dalam kuasa saya sepenuhnya seperti pengisytiharan undi pos di laman web kami.

“Kerana itu saya menunggu ahli baharu SPR yang akan dilantik untuk mulakan proses penambahbaikan ini untuk input dan maklum balas kerana ia akan menjadi dasar untuk SPR pada masa depan bukannya dasar saya sendiri,” katanya.

Berita Harian X