Rabu, 27 Februari 2019 | 7:02pm
KETUA Pegawai Eksekutif Operasi Percukaian LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah. - Foto NSTP
KETUA Pegawai Eksekutif Operasi Percukaian LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah. - Foto NSTP

LHDN hantar surat, e-mel galak pengakuan sukarela

KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam proses menghantar surat dan e-mel kepada lebih tujuh juta pembayar cukai berdaftar bagi Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS).

Ketua Pegawai Eksekutif Operasi Percukaian LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah, berkata surat dan e-mel berkenaan adalah susulan ke arah menggalakkan pengakuan sukarela oleh pembayar cukai yang belum melaporkan pendapatan yang disimpan di dalam dan luar negara.

Bagaimanapun, katanya, pembayar cukai tidak perlu khuatir sekiranya pendapatan diterima sudah dilaporkan atau dikenakan cukai dan disalurkan ke luar negara kerana ia adalah teratur di sisi undang-undang cukai pendapatan.

“Prosedur pembukaan akaun bank di luar negara adalah seragam pada peringkat antarabangsa, iaitu butiran lanjut berkenaan pendaftaran dan maklumat percukaian perlu dikemukakan kepada pihak berkuasa negara terbabit.

“Menerusi inisiatif Pertukaran Maklumat Secara Automatik (AEOI) oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) yang ditandatangani lebih 100 negara, LHDN mula menerima maklumat kewangan khususnya pemilikan akaun bank dari luar negara sejak September 2018.

“PKPS menawarkan penyelesaian cukai bagi mereka yang memiliki akaun bank di luar negara tetapi pendapatannya tidak dilaporkan kepada LHDN.

“Pada masa sama, PKPS mengalu-alukan pengakuan (jika ada) pembayar cukai berhubung pendapatan yang berpunca dari dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Berita Harian X