Rabu, 27 Februari 2019 | 7:07pm
PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mendedahkan maklumat membuktikan PAS membayar sejumlah RM1 juta kepada pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown. - NSTP/Rosela Ismail

Anwar dedah maklumat PAS bayar Rewcastle-Brown malam ini

KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mendedahkan maklumat membuktikan PAS membayar sejumlah RM1 juta kepada pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown dalam ceramahnya di Semenyih, malam ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu mendakwa mempunyai bukti baharu yang dapat mengaitkan PAS membayar kepada Rewcastle-Brown bagi penyelesaian luar mahkamah kes saman fitnah difailkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung dakwaan penerimaan RM90 juta daripada UMNO.

“Saya tidak fikir PAS boleh menafikannya. Saya ada maklumat yang cukup untuk buktikan bahawa PAS membayar kepada Clare. Saya akan jelaskan secara terperinci malam nanti di Semenyih,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis kemuncak Hadiah Sastera Kumpulan Utusan di sini, hari ini.

Semalam, PAS menegaskan tiada sebarang bayaran dibuat kepada Rewcastle-Brown bagi penyelesaian luar mahkamah kes saman fitnah difailkan Abdul Hadi berhubung dakwaan penerimaan RM90 juta daripada UMNO.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan, dilaporkan berkata berdasarkan Perintah Persetujuan (Consent Order) yang direkodkan di hadapan Master Brown di Mahkamah Tinggi London pada 1 Februari lalu, selain kedua-dua pihak bersetuju tidak meneruskan tuntutan dan tuntutan balas masing-masing, mahkamah tidak membuat sebarang perintah mengenai kos kepada mana-mana pihak.

Sebelum ini Anwar mencabar PAS menjelaskan sama ada parti itu membayar lebih RM1 juta kepada Rewcastle-Brown, sebagai kos untuk menyelesaikan saman antara kedua-dua pihak di luar mahkamah.

Presiden PKR itu dilaporkan berkata penjelasan PAS itu perlu selepas pihaknya mendapati afidavit kes yang difailkan oleh Rewcastle-Brown tidak selari dengan penjelasan PAS, sekali gus menimbulkan banyak kekeliruan.

Mengulas mengenai kononnya wujud gerakan undi tidak percaya kepada Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, Anwar berkata, isu berkenaan ditimbulkan oleh Abdul Hadi untuk mengeruhkan hubungannya dengan Perdana Menteri.

Katanya, justeru beliau terpaksa mendedahkan perkara sebenar selepas mendapati PAS berterusan menyerangnya bagi menimbulkan permusuhan dengan Dr Mahathir.

“Yang bangkitkan isu itu (undi tidak percaya) adalah Abdul Hadi. Selepas itu saya bincang dengan ketua parti Pakatan Harapan (PH), PKR, DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

“Semua mengakui tidak pernah dengar usaha itu. Kita terikat dengan perjanjian untuk memberi sokongan kepada Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri.

“Maka, soal hendak batalkan perjanjian itu tidak mungkin. Oleh itu saya lihat tidak ada asas (undi tidak percaya). Sebab itu saya ulangi pendirian PKR beri sokongan kepada Dr Mahathir seperti yang kita janji,” katanya.

Beliau berkata, sebelum ini beliau enggan melayan dakwaan dan serangan PAS kerana menyifatkan parti itu adakan rakan mereka ketika dalam Pakatan Rakyat.

“Sejak dua tiga tahun lalu, PAS serang saya, tapi saya tidak jawab sekali pun sebab saya kenang PAS itu pernah jadi sahabat kita. Tapi apabila saya tengok PAS berterusan serang saya, selepas saya menanggung susah payah dan derita dan hendak lagakan saya dengan Dr Mahathir, maka saya terpaksa jelaskan,” katanya.

Berita Harian X