Rabu, 27 Februari 2019 | 11:39pm
Ketua Umum Pakatan Harapan merangkap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ceramah beliau ketika ceramah Pilihan Raya sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N24 Semenyih di Terminal Semenyih Sentral. - Foto Asyraf Hamzah

PAS bayar RM1.4 juta kepada Rewcastle-Brown - Anwar

HULU LANGAT: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa memiliki dokumen transaksi bank yang membuktikan PAS membayar RM1.4 juta kepada Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.

Beliau bagaimanapun enggan menunjukkan bukti yang dikaitkan dengan penyelesaian luar mahkamah kes saman fitnah difailkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung dakwaan penerimaan RM90 juta daripada UMNO buat masa ini.

Katanya, beliau hanya akan mendedahkan bukti dokumen terbabit jika PAS berterusan mencabarnya untuk berbuat demikian.

“Saya nak beritahu saya tidak sesekali memusuhi ahli PAS. Saya ada baca kertas pendakwaan itu. Saya tidak bodoh kerana sudah banyak kali turun naik mahkamah sebelum ini.

“Apa yang Rewcastle-Brown cakap ialah PAS menerima wang daripada UMNO bukan dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Ya, saya ada bukti Hadi bayar RM1.4 juta kepada Clare.

“Saya ada dokumen transaksi bank itu. Buat masa ini saya tidak mahu tunjuk lagi bukti itu. Saya Anwar Ibrahim, saya tidak akan cakap jika tiada fakta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada ceramah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih di sini, malam ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, PAS boleh membawa perkara itu ke mahkamah jika mahu mencabar bukti yang dimilikinya.

“Sudah-sudahlah PAS. Apa yang anda kata itu tidak betul. Jika anda cabar, saya sedia tunjukkan bukti terbabit,” katanya.

Semalam, PAS menegaskan tiada sebarang bayaran dibuat kepada Rewcastle-Brown bagi penyelesaian luar mahkamah kes saman fitnah difailkan Abdul Hadi berhubung dakwaan penerimaan RM90 juta daripada UMNO.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan, dilaporkan berkata berdasarkan Perintah Persetujuan (Consent Order) yang direkodkan di hadapan Master Brown di Mahkamah Tinggi London pada 1 Februari lalu, selain kedua-dua pihak bersetuju tidak meneruskan tuntutan dan tuntutan balas masing-masing, mahkamah tidak membuat sebarang perintah mengenai kos kepada mana-mana pihak.

Penegasan PAS itu dibuat selepas Anwar mencabar PAS menjelaskan sama ada parti itu membayar lebih RM1 juta kepada Rewcastle-Brown, sebagai kos untuk menyelesaikan saman antara kedua-dua pihak di luar mahkamah.

Ahli Parlimen Port Dickson itu dilaporkan berkata penjelasan PAS itu perlu selepas pihaknya mendapati afidavit kes yang difailkan oleh Rewcastle-Brown tidak selari dengan penjelasan PAS, sekali gus menimbulkan banyak kekeliruan.

4626 dibaca
Berita Harian X