Khamis, 28 Februari 2019 | 3:38pm

PAS akan dedah dokumen, jawab dakwaan Anwar

PUTRAJAYA: PAS akan mendedahkan segala dokumen berhubung penyelesaian luar mahkamah kes saman fitnah difailkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown menerusi satu sidang media minggu ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata parti itu mempunyai segala dokumen yang akan ditunjukkan bagi menjawab segala dakwaan dibuat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa PAS membayar RM1.4 juta kepada Rewcastle-Brown.

“Kita ada semua dokumen, saya akan tunjukkan semua dokumen berkaitan dalam satu sidang media, ini akan menjadi bukti bagi mempertahankan diri saya terhadap dakwaan dibuat Anwar.

“Kita percaya bukti dokumen ini lebih kukuh daripada hanya berkata-kata, kita ada dokumen, dia (Anwar) hanya bersandarkan cakap-cakap saja,” katanya kepada media selepas memberi keterangan lebih empat jam kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, hari ini.

Anwar dalam satu ceramah Pakatan Harapan (PH) sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih di sini, malam tadi mendakwa memiliki dokumen transaksi bank membuktikan PAS membayar RM1.4 juta kepada Rewcastle-Brown.

Bagaimanapun, buat masa ini, beliau enggan menunjukkan bukti dikaitkan dengan penyelesaian luar mahkamah kes saman fitnah difailkan Abdul Hadi berhubung dakwaan penerimaan RM90 juta daripada UMNO.

Katanya, beliau hanya akan mendedahkan bukti dokumen terbabit jika PAS berterusan mencabarnya untuk berbuat demikian.

Selain itu, Takiyuddin turut mencabar Anwar menunjukkan bukti dokumen transaksi bank didakwa Anwar membuktikan PAS membayar Rewcastle-Brown.

“Dia (Anwar) kena tunjuklah (dokumen transaksi bank). Sebenarnya, penyata kewangan PAS Pusat sejak Januari 2015 hingga Disember 2018 sudah diberi kepada SPRM.

“Sebab itu Ketua Pesuruhjaya SPRM cakap dia tidak menjumpai apa-apa duit dalam akaun PAS Pusat yang berkait dana RM90 juta itu,” katanya.

Ditanya tindakan undang-undang akan diambil terhadap dakwaan Anwar itu, beliau berkata, perkara itu akan diputuskan kemudian.

SETIAUSAHA Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan ketika ditemui media selepas memberi keterangan lebih empat jam kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, hari ini. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
Berita Harian X