Khamis, 28 Februari 2019 | 6:42pm
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng diiringi Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu, Datuk Abdul Latiff Mirasa (kanan) untuk melawat ke sekitar Nasyrul Quran selepas majlis penyerahan replika cek RM5 juta kepada Yayasan Restu untuk pengurusan mencetak dan menyebar Al-Quran di Kompleks Nasyrul Quran. Turut sama, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah. - Foto BERNAMA

Kompleks Nasyrul Quran terima peruntukan RM5 juta

PUTRAJAYA: Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta kepada Yayasan Restu bagi menyokong operasi Kompleks Nasyrul Quran sepanjang tahun ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, jumlah itu adalah sebahagian daripada peruntukan kerajaan Persekutuan kepada institusi dan badan Islam di Malaysia selaras kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dalam Perlembagaan Persekutuan

Beliau berkata, kelulusan peruntukan itu memaparkan keutamaan yang diberikan oleh pentadbiran negara kepada agenda untuk memacu syiar Islam di negara ini.

“Nama rasmi kompleks ini membawa makna penyebaran al-Quran, yang mana ia merujuk kepada peranan kompleks ini bukan hanya sekadar sebagai pencetak tetapi juga pusat penyelidikan pakar penterjemah kepada pelbagai bahasa selain pengagihan al-Quran.

“Kompleks Nasyrul Quran diiktiraf sebagai pusat percetakan al-Quran dalam turutan kedua di dunia selepas Kompleks Percetakan al-Quran Raja Fhad di Madinah.

“Semoga dengan sumbangan ini Nasyrul Quran dapat mencapai sasarannya mencetak 500,000 naskhah mushaf al-Quran bagi keperluan umat Islam sedunia,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.


Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (dua, kiri) menyampaikan sumbangan replika cek RM5 juta kepada Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu, Datuk Abdul Latiff Mirasa (dua, kanan) sambil disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa (tiga, kanan) dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah (tiga, kiri) di Nasyrul Quran, hari ini. Sumbangan itu adalah untuk pengurusan mencetak dan menyebar Al-Quran oleh Kompleks Nasyrul Quran. - Foto BERNAMA

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian cek bernilai RM5 juta kepada Pengerusi Yayasan Restu, Datuk Abdul Latiff Mirasa bagi pengoperasian Kompleks Nasyrul Quran termasuk untuk pengurusan mencetak dan menyebar al-Quran.

Guan Eng berkata, Belanjawan 2019 membuktikan komitmen kerajaan melalui peningkatan peruntukan untuk hal ehwal agama Islam sebanyak RM100 juta.

“Peruntukan sebanyak RM25 juta untuk sekolah pondok sudah diserahkan pada awal Januari lalu, manakala RM50 juta disalurkan kepada Sekolah Tahfiz berdaftar untuk kerja naik taraf dan penyelenggaraan yang mana sebelum ini tidak diberikan dalam Bajet 2018.

“Kerajaan Persekutuan akan terus mendokong usaha pembangunan Islam dan kebajikan umat Islam ke arah mewujudkan masyarakat bertamadun dan bermaruah seperti digagaskan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya.

Berita Harian X