Ahad, 3 March 2019 | 4:16pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor.

Perkara mengenai PAS adalah benar - PM

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Pakatan Harapan (PH) hanya bercakap benar mengenai PAS termasuk janji Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kepada beliau, selain isu pembayaran RM1.4 juta oleh PAS kepada pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.

Perdana Menteri sekali lagi menegaskan, Abdul Hadi sebelum ini bertemu dengannya dan memberitahu untuk menyokongnya, namun ia tidak diterjemahkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

“Kita bercakap benda benar, umpamanya Abdul Hadi datang jumpa saya. Beliau kata nak sokong saya dan ketua PAS tidak akan kempen (pada PRK DUN Semenyih).

“Bagaimanapun, pada hari penamaan calon, ketua PAS ada (memberi sokongan kepada Barisan Nasional). Beliau janji dengan saya ni apa dia?” katanya.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi PH berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Landskap Negara 2019 dengan tema ‘Malaysia Negara Taman Terindah’ di Taman Botani Putrajaya di sini, hari ini.

Beliau ditanya sama ada serangan PH terhadap PAS mengenai isu pembayaran RM1.4 juta kepada Rewcastle-Brown menjadi antara punca pengundi Semenyih menolak PH pada PRK berkenaan.

Dr Mahathir berkata, PH mempunyai bukti yang jelas mengenai pembayaran RM1.4 juta kepada Rewcastle-Brown itu sebagai sebahagian daripada penyelesaian luar mahkamah bagi kes saman Abdul Hadi.

“Beliau saman malu terhadap wanita ini (Rewcastle-Brown), selepas itu apabila dapati beliau mungkin tidak menang, beliau nak selesai cara luar mahkamah.

“Untuk ini, orang PAS yang bayar duit dan kita ada bukti, takkan kita nak sembunyi...bukti jelas,” katanya.

Berhubung pendedahan bahawa pembayaran RM1.4 juta itu dibuat melalui akaun Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Datuk Seri Rameli Musa dan bukannya PAS, Dr Mahathir berkata beliau tidak menyalahkan Rameli mengenai perkara itu.

“PAS ini, ada orang yang simpati dengan dia. Dia ada masalah, yang mereka nak tolong, mereka tolonglah.

“Kita tidak marahkan Rameli tetapi kita marah dengan cara PAS. Mereka bohong, tidak cerita benda betul,” katanya.

Berita Harian X