Jumaat, 8 March 2019 | 12:13pm
PENGERUSI Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Tan Sri Razali Ismail. - Foto Saddam Yusoff

SUHAKAM gesa gubal undang-undang Kesaksamaan Gender, Gangguan Seksual

KUALA LUMPUR : Kerajaan digesa mempercepatkan penggubalan undang-undang jkesaksamaan gender dan hukuman bagi gangguan seksual untuk dibentangkan di Dewan Rakyat, Mac ini.

Parlimen Penggal Kedua yang dijangka bersidang selama 20 hari bermula 11 Mac hingga 11 April depan, akan dirasmikan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Ahmad Shah.

Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Tan Sri Razali Ismail, berkata kerajaan perlu bertindak meneraju usaha menangani halangan institusi yang menggugat pemerkasaan wanita.

“Jawatankuasa Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) 1995, SUHAKAM dan kumpulan memperjuangkan hak wanita menggesa kerajaan mempercepatkan penggubalan undang-undang Kesaksamaan Gender dan hukuman bagi Gangguan Seksual untuk dibentangkan di Parlimen, tahun ini.

“SUHAKAM menggesa dua undang-undang ini diperluaskan (meliputi) perlindungan kepada wanita dan kanak-kanak perempuan golongan rentan seperti komuniti Orang Asli, pelarian, pekerja asing dan mangsa pemerdagangan manusia,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Razali berkata walaupun Malaysia banyak kemajuan dalam mempromosikan hak-hak wanita, golongan wanita masih lagi terus mengalami diskriminasi di negara ini.

Justeru, katanya, Malaysia mempunyai tanggungjawab sosial dan moral untuk menggubal undang-undang bagi mengiktiraf hak dan menangani diskriminasi terhadap wanita.

“Kami masih belum dapat melihat perwakilan wanita yang setara dalam jawatan kepimpinan pada setiap peringkat masyarakat.

“Dengan hanya 13.9 peratus wanita menduduki kerusi Parlimen, bermakna perlu ada usaha tinggi untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam politik dan kepimpinan,” katanya.

Razali merujuk kepada statistik Jabatan Perangkaan, yang separuh daripada kesemua profesional dan pekerja teknikal adalah wanita.

Bagaimanapun, penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan hanya 54.7 peratus penyertaan wanita berbanding 80.7 peratus lelaki.

Manakala, hanya 22.2 peratus wanita menyandang jawatan tertinggi peringkat pengurusan dengan purata pendapatan kurang RM9.38 berbanding pekerja lelaki.

Ia termasuk hanya 23.3 peratus Ahli Lembaga Pengarah wanita dilantik dalam 100 syarikat terbesar tersenarai dalam Bursa Malaysia.

Hari ini, wanita sejagat meraikan Hari Wanita Sedunia 2019, yang bertemakan, ‘Think equal, build smart, innovate for change’ (Fikir kesaksamaan, bina dengan kebijaksanaan, berinovasi untuk perubahan), dengan tumpuan membantu meningkatkan kesaksamaan gender dan pemerkasaan wanita.

Berita Harian X