Jumaat, 8 March 2019 | 4:30pm
Mohamed Azmin bersalaman dengan penduduk kampung ketika hadir pada Program Solat Jumaat dan Kenduri Rakyat di Masjid Mahmudi Mukim Melor, di Kota Bharu, hari ini. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Mohamed Azmin bersalaman dengan penduduk kampung ketika hadir pada Program Solat Jumaat dan Kenduri Rakyat di Masjid Mahmudi Mukim Melor, di Kota Bharu, hari ini. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Mohamed Azmin menjamu penduduk kampung pada Program Solat Jumaat dan Kenduri Rakyat di Masjid Mahmudi Mukim Melor, di Kota Bharu, hari ini. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Mohamed Azmin menjamu penduduk kampung pada Program Solat Jumaat dan Kenduri Rakyat di Masjid Mahmudi Mukim Melor, di Kota Bharu, hari ini. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Tiada lantikan politik dalam Majlis Tindakan Negeri - Azmin

KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan membuat ketetapan tiada lagi lantikan politik dalam Majlis Tindakan Negeri (MTNg) yang sebaliknya hanya dianggotai penjawat awam, khususnya ketua jabatan sebagai anggota tetap.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata ia kali pertama Kerajaan Persekutuan merombak struktur MTNg yang sebelum ini tidak membabitkan jabatan kerajaan di peringkat negeri.

Katanya, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat, jika tiada pembabitan anggota perkhidmatan awam, kerajaan mungkin menghadapi masalah untuk melaksanakan program yang dirancang.

“Memang seperti ditegaskan oleh Dr Mahathir dalam Pekeliling Perdana Menteri, kita mengundang ketua jabatan di peringkat negeri dan Persekutuan sebagai anggota tetap MTNg.

“Kita mahu melihat cadangan dan perancangan dapat dilaksanakan di peringkat akar umbi, sekali gus memberi manfaat kepada rakyat keseluruhan. Jadi sememangnya tiada lantikan politik dalam MTNg,” katanya ketika ditemui selepas Program Solat Jumaat dan Kenduri Rakyat di Masjid Mahmudi Mukim Melor, di sini, hari ini.

MTNg diwujudkan di setiap negeri sebagai badan utama peringkat negeri yang bertanggungjawab memastikan keputusan Majlis Tindakan Negara (MTN) di peringkat Persekutuan dilaksanakan.

Ia bertindak sebagai platform penyelarasan utama bagi keputusan dasar berkaitan penyelarasan perancangan, pemantauan dan pengesanan pelaksanaan dasar dan program atau projek pembangunan serta inisiatif semasa kerajaan Persekutuan di peringkat negeri.

Mengenai royalti petroleum kepada negeri berkaitan, Mohamed Azmin yang juga Pengerusi MTNg Kelantan, berkata semua tuntutan itu akan dimasukkan terus ke akaun kerajaan negeri.

“Kita memasukkan terus (tuntutan royalti) dalam akaun kerajaan negeri, tolak 25 peratus hutang kerajaan negeri,” katanya.

Ditanya hasil pertemuan dengan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob semalam, Mohamed Azmin berkata, beliau memberi penjelasan mengenai hasrat murni Kerajaan Pusat untuk membangunkan Kelantan tanpa membabitkan retorik politik.

“Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) membuktikan komitmen dan kesungguhan Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan Kelantan.

“Jadi saya mohon kerajasama kerajaan negeri supaya mewujudkan semangat federalisme. Kita akan terus memperhalusi semangat ini supaya kerjasama dapat dilaksanakan secara efektif, bukan saja di peringkat Persekutuan dan negeri, tapi yang penting kerjasama di peringkat daerah,” katanya.

Berita Harian X