Jumaat, 8 March 2019 | 7:17pm
KETUA Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah. - Foto Fariz Iswadi Ismail
KETUA Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah. - Foto Fariz Iswadi Ismail

LHDN kesan 455,000 akaun rakyat Malaysia di 57 negara

KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sudah menerima lebih 455,000 akaun bank dibuka oleh rakyat Malaysia di 57 negara.

Justeru, LHDN menawarkan penyelesaian cukai kepada pemilik akaun terbabit menerusi Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) hasil daripada pendapatan yang dijana dalam Malaysia tetapi belum dilaporkan kepada agensi itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Sabin Samitah, berkata pengakuan sukarela melalui program itu bagi pelaporan Tahun Taksiran 2017 dan sebelumnya, tiada siasatan atau tindakan audit dijalankan pada masa depan.

Katanya, surat dan e-mel pemakluman kepada pembayar cukai yang mempunyai akaun bank di luar negara juga sedang dalam proses untuk dikeluarkan kepada mereka.

“Kerajaan menyeru kepada pembayar cukai yang mempunyai akaun bank di luar negara yang menerima surat pemakluman dari LHDN perlu tampil segera di mana-mana cawangan LHDN untuk memberikan penjelasan dan seterusnya menyertai PKPS sekiranya perlu.

“Pada masa sama, kerajaan mengalu-alukan pengakuan sukarela (jika ada) daripada pembayar cukai yang tidak mempunyai akaun di luar negara, tetapi masih mempunyai pendapatan yang dijana dari dalam Malaysia

“Pembayar cukai di dalam kategori ini masih lagi layak untuk menikmati pengurangan penalti kepada 10 peratus atau 15 peratus sekiranya menyertai PKPS,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Sabin berkata, sehingga kini, lebih 225,000 pembayar cukai menyertai PKPS dalam fasa pertama yang akan tamat pada 31 Mac ini,”

Katanya, pembayar cukai dinasihatkan supaya segera merebut peluang ditawarkan dan tidak menunggu sehingga ke saat terakhir program ini.

“LHDN akan menerima pengakuan yang telah dibuat ini dengan suci hati dan tindakan audit atau siasatan tidak akan dijalankan pada masa hadapan bagi tempoh pengakuan sukarela ini.

“Di bawah inisiatif Pertukaran Maklumat Secara Automatik (AEOI) oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), LHDN menerima maklumat kewangan, khususnya pemilikan akaun bank mencakupi lebih 100 negara, mulai September tahun lalu,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X