Isnin, 11 March 2019 | 10:38pm
KEADAAN kereta mangsa yang terbabas dan merempuh dinding rumah penduduk di Jalan Tempasuk 2, di Kota Belud. - Foto IHSAN BOMBA.
KEADAAN kereta mangsa yang terbabas dan merempuh dinding rumah penduduk di Jalan Tempasuk 2, di Kota Belud. - Foto IHSAN BOMBA.

UPDATE : Seorang lagi murid meninggal dunia kes dirempuh pemandu mabuk

KOTA BELUD: Seorang lagi pelajar yang dirempuh kereta dipandu lelaki disyaki mabuk di Jalan Tempasuk 2, Kampung Tempasuk 2 di sini pagi tadi, meninggal dunia malam ini.

Maxryona Masdi, 7, murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan (SK) Tempasuk 2 yang cedera parah di kepala, disahkan meninggal dunia di wad kecemasan Hospital Queen Elizabeth (QEH) pada jam 7 malam.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Mohd Zaidi Abdullah, berkata mangsa adalah adik kepada Max Christty Masdi, 10, yang meninggal dunia dalam nahas pada kira-kira jam 6.45 pagi tadi.

“Kita turut mendapati adik-beradik itu adalah anak saudara kepada pemandu berusia 54 tahun yang disyaki mabuk ketika melanggar tiga mangsa terbabit ketika kejadian pagi tadi.

“Polis juga menasihati pengguna laman sosial agar berhenti menyebarkan gambar mangsa untuk menghormati keluarga mangsa yang masih berdukacita dengan kejadian berkenaan,” katanya di sini malam tadi.

Mohd Zaidi berkata, seorang lagi mangsa, Michelle Marianne David, 14, dilaporkan masih dalam keadaan kritikal akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

Dalam kejadian jam 6.45 pagi, tiga pelajar dikatakan menunggu bas di bahu jalan untuk ke sekolah sebelum dirempuh kenderaan jenis Nissan Sentra.

Max Christty meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi mangsa parah.

Mohd Zaidi sebelum ini dilaporkan berkata siasatan awal mendapati pemandu terbabit berusia 54 tahun dan bekerja sebagai petani, dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Tempasuk 2 dari arah Pekan Kota Belud, sebelum dipercayai hilang kawalan lalu merempuh mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 44(1) APJ 1952 kerana memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian.

Berita Harian X