Isnin, 11 March 2019 | 11:44pm
PRESIDEN Korea Selatan, Moon Jae-in (kanan) bersama isterinya, Kim Jung-sook. - Foto EPA

Presiden Korea Selatan jadi tetamu diraja pertama Yang di-Pertuan Agong

KUALA LUMPUR: Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in dan isteri, Kim Jung-sook akan mengadakan Lawatan Negara ke Malaysia mulai esok hingga Khamis ini.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan sebentar tadi berkata, matlamat utama lawatan negara berkenaan adalah memperkukuh dan memperluaskan lagi ruang lingkup hubungan dua hala antara Kuala Lumpur dan Seoul.

“Ketika lawatannya, Presiden Moon akan diberikan Sambutan Negara oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di perkarangan Parlimen Malaysia, lusa (Rabu ini).

“Ia disusuli satu Majlis Santapan Negara dihoskan oleh Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara bagi meraikan Presiden Korea Selatan dan delegasinya.

“Presiden Moon adalah ketua negara asing yang pertama akan diraikan oleh Yang di-Pertuan Agong selepas baginda menaiki takhta pada 31 Januari 2019.

“Kali terakhir Malaysia menerima lawatan negara dari Republik Korea adalah pada 9 hingga 10 Disember 2010 oleh Presiden Lee Myung-bak sempena ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik di antara Malaysia dan Republik Korea,” katanya.

Wisma Putra dalam kenyataannya mengesahkan Moon dijadualkan akan mengadakan perbincangan dua hala mengenai pelbagai perkara membabitkan kepentingan kedua-dua negara dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada Rabu.

Katanya, kedua-dua pemimpin juga akan menyaksikan majlis menandatangani empat memorandum persefahaman (MoU) bagi kerjasama di dalam bidang industri berasaskan Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) merangkumi pengangkutan, pembangunan Bandar Pintar di Malaysia serta kerjasama di dalam sektor industri halal serta diakhiri dengan satu sidang media khas bersama.

“Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan pelbagai isu dua hala, serantau dan antarabangsa demi kepentingan bersama. Peningkatan hubungan dua hala, ulang tahun ke-60 terjalinnya hubungan diplomatik antara Malaysia dan Republik Korea pada 2020, serta peningkatan hubungan ASEAN-Republik Korea adalah antara isu utama yang akan dibincangkan,” kata kenyataan itu.

Wisma Putra berkata, pada 2018, dagangan dua hala antara Malaysia dan Korea Selatan mencatatkan peningkatan 7.2 peratus untuk mencecah USD17.98 bilion (RM72.60 bilion) berbanding USD15.76 bilion (RM67.71 bilion) pada 2017.

Korea Selatan adalah rakan perdagangan Malaysia yang kelapan terbesar di dunia dan Pelaburan Langsung Asing (FDI) ke-13 terbesar pada 2018.

Malaysia pula rakan perdagangan negara itu yang ke-14 terbesar untuk tahun yang sama.

Wisma Putra juga berkata, dari Januari hingga September 2018, sejumlah 463,004 pelancong dari negara itu melawat Malaysia, iaitu peningkatan 33.1 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2017.

Berita Harian X