Selasa, 12 March 2019 | 10:12am
Pengarah Urusan Noor Arfa, Wan Mohd. Hafiz Wan Mohd. Ariffin (kiri) dan Pengurus Operasi Pemasaran dan Jualan Noor Arfa, Ismanisa [email protected] Ismail (kanan) melihat kain batik yang terdapat di Komplek Kraf Noor Arfa, Chendering. - Foto Rozainah Zakaria

Industri batik tempatan 'dibunuh'

KUALA TERENGGANU: Industri batik tempatan ‘dibunuh’ sendiri oleh rakyat Malaysia terutama generasi muda yang mempopularkan batik Indonesia dan ‘diviralkan’ sehingga menjadi trend digayakan pada majlis perkahwinan, acara formal dan santai.

Pengurus Besar Noor Arfa Holdings Sdn Bhd, Wan Mohd Hafiz Wan Mohd Ariffin, berkata golongan itu secara tidak langsung mempromosikan batik luar dan kurang pengetahuan mengenai rekaan, identiti dan asal-usul batik Malaysia.

Katanya, mereka cenderung memilih batik pada harga murah, corak sama dalam kuantiti banyak, sedangkan sukar dilakukan pengusaha tempatan yang mengeluarkan batik lukis dan blok dihasilkan menggunakan tangan sepenuhnya.

Berbanding Indonesia, pihaknya mengeluarkan batik terap dihasilkan menggunakan mesin pada harga jauh lebih murah berbanding batik tempatan.

"Pada peringkat ini, kita kalah kepada Indonesia kerana tidak menghasilkan batik menggunakan teknik cetakan dan mesin.

“Kita menggunakan 100 peratus buatan tangan, jadi penghasilan batik terhad terutama jika pelanggan mahu corak yang sama dalam kuantiti banyak.


Pengarah Urusan Noor Arfa, Wan Mohd. Hafiz Wan Mohd. Ariffin (kiri) dan Pengurus Operasi Pemasaran dan Jualan Noor Arfa, Ismanisa [email protected] Ismail (kanan) menunjukkan kain batik yang terdapat di Komplek Kraf Noor Arfa, Chendering. - Foto Rozainah Zakaria

“Industri batik di negara ini, khususnya di Pantai Timur sudah bertapak sejak sekian lama, lalu, tetapi belum berkembang ke tahap sepatutnya dan diancam batik luar negara,” katanya.

Beliau berkata, ramai tidak tahu ciri-ciri batik Malaysia menyebabkan hanya ‘tangkap muat’ dengan memilih batik negara luar, khususnya Indonesia kebanyakannya menggunakan motif fauna atau haiwan dengan aplikasi warna gelap dan dijual jauh lebih murah.

“Batik Malaysia berasaskan batik lukis dan blok, bermotifkan flora dan menggunakan ‘colours of ranggoli’ atau berwarna-warni, berbanding Indonesia menghasilkan batik ‘silk screen’ yang dihasilkan dalam jumlah yang banyak pada satu-satu masa.

“Berbanding batik lukis dan blok keluaran tempatan, dibuat sepenuhnya menggunakan tangan, bukan mesin. Ini menyebabkan pengeluarannya terhad bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan dan luar negara,” katanya.

Wan Mohd Hafiz kagum dengan Indonesia yang berjaya menanam semangat cintakan hasil seni, berpengetahuan tinggi terhadap rekaan batik sekali gus membuatkan mereka lebih menghormati produk sendiri.

"Sebab apa Indonesia boleh menang (pasaran batik) kerana berjaya mendidik rakyatnya mencintai batik keluaran mereka. Di sana amat sukar kita temui penduduknya memakai batik Malaysia, tetapi di sini kita lihat begitu ramai memakai batik Indonesia.

"Pekerja pejabat di Pejabat Kedutaan Indonesia sendiri memakai batik mereka, tetapi malangnya orang kita lebih selesa memakai kot. Mereka bangga dengan produk itu dan rasa bersalah jika tidak memakainya," katanya.

Beliau sedih rakyat Malaysia terlalu mudah menerima kemasukan produk luar, sekali gus menjejaskan pasaran batik keluaran tempatan yang diperjuangkan oleh pengusaha tempatan sehingga kini.

"Saya lihat batik Indonesia terlalu mudah memasuki ke negara ini. Lebih menyedihkan orang Malaysia sendiri menjadi 'dropship' produk Indonesia.


ANTARA corak batik tiruan yang dijual di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman.

"Bukan kita mahu menyekat rezeki, tetapi agak sedih kerana orang kita sendiri tidak berminat mempromosikan produk batik tempatan berbanding produk luar," katanya.

Wan Mohd Hafiz berkata, faktor kos turut membelenggu batik tempatan untuk berkembang ke pasaran luar negara, berikutan sebahagian besar bahan mentah diimport daripada luar dan meningkatkan kos pengeluaran batik.

"Negara ini tiada bahan mentah. Kain sutera, kain kapas digunakan untuk membuat batik, semuanya diimport dari negara luar, berbanding Indonesia mempunyai bahan mentah sendiri.

"Negara kita tidak mencetak batik pada kain sutera seperti kita, kerana bahan mentah ini sangat mahal.

"Orang selalu kata batik kita mahal, tetapi sebenarnya harga bahan mentah kita sudah mahal, bagaimana kita mahu jual dengan harga rendah,” katanya.

Beliau berkata, kain sutera berkualiti tinggi berharga RM60 semeter dengan sepasang baju memerlukan empat meter, menjadikan RM240 semeter untuk kain kosong.

“Ini tidak termasuk kos melukis, mencanting dan mewarna batik. Ada peniaga menggunakan kain polyster seperti banyak dijual di Kampung Cina dan Pasar Besar Kedai Payang, tetapi itu bukan batik asli.

“Malah dijual murah iaitu RM6 hingga RM7 untuk semeter kain polister, berbanding material kain 'natural fiber' harga mahal.

“Kita pilih sutera kerana material terbaik untuk batik dan mampu membangkitkan warna berbanding material lain,” katanya.

Berita Harian X