Selasa, 12 March 2019 | 10:49am
Pengurus Besar Karyaneka, Norizmah Mustaffadi Kompleks Kraf Kuala Lumpur. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Batik Malaysia terancam

KUALA LUMPUR: Keunikan batik Malaysia terancam berikutan kecenderungan pengusaha dari negara jiran menciplak rekaan dan motif tempatan pada produk keluaran mereka.

Ketika ini, lambakan batik dari Indonesia, China, Korea dan Thailand dipasarkan secara berleluasa di negara ini bagi mengaburi mata dan menarik minat pembeli tempatan.

Pengurus Besar Syarikat Pemasaran Karyaneka Sdn Bhd, Norizmah Mustafa, berkata pengusaha terbabit menggabungkan motif tempatan dan negara terbabit sehingga merosakkan imej dan ‘membunuh’ keunikan batik Malaysia.

Katanya, pembatik Indonesia, umpamanya dikesan menerapkan warna dan motif tradisi batik tempatan pada batik mereka.

“Karyaneka mengesan trend menciplak batik dari negara seberang, khususnya dari Indonesia seperti menggunakan corak flora dan abstrak seperti pua kumbu yang menjadi identiti kita.

“Sejak dulu, batik Indonesia lebih terkenal dengan motif fauna atau haiwan, selain menerapkan warna tanah seperti coklat dan hitam tetapi kini rona ceria dan terang yang banyak digunakan pada batik tempatan,” katanya.


Tinjauan Batik tiruan di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Antara batik di Karyaneka, Kompleks Kraf Kuala Lumpur. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Beliau berkata, jika kegiatan itu tidak dibendung, ia bukan saja mengelirukan khususnya masyarakat tempatan, malah menyebabkan pasaran batik gagal berkembang pesat.

Katanya, ramai yang kurang mengenali keunikan batik tempatan dan sukar membezakannya dengan batik luar khususnya dari Indonesia,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya kesal dengan situasi itu dan dilihat sebagai persaingan yang tidak sihat dalam industri berkenaan.

“Sepanjang 37 tahun Karyaneka menjadi platform pemasaran kepada lebih ratusan usahawan batik seluruh negara, Karyaneka sentiasa proaktif membantu usahawan mempromosi dan menjual produk batik seluruh negara,” katanya.


Antara batik di Karyaneka, Kompleks Kraf Kuala Lumpur. - Foto Nurul Shafina Jemenon

INFO

  • Pembatik Indonesia mula menjadikan motif dan rekaan batik usahawan negara ini sebagai rujukan mereka menghasilkan batik sejak kebelakangan ini, menjadikan lambakan batik luar mula memasuki pasaran negara.
  • Batik tempatan lebih kepada corak lebih halus, motif bunga dan fauna seperti rama-rama, manakala batik Indonesia lebih kepada haiwan seperti unggas.
  • Motif rekaan batik Indonesia lebih penuh berbanding batik tempatan yang lebih ringkas.
  • Setiap tahun, keuntungan bagi industri batik saja mencecahkan jutaan ringgit dan menjadi penanda positif kepada usahawan batik negara ini.
  • Harga batik meningkat setiap tahun disebabkan faktor lain seperti harga fabrik dan warna yang semakin mahal kerana bahan mentah diimport dari China dan India yang memerlukan transaksi pertukaran asing.
  • Sejarah batik:

    1. Malaysia - Industri di Kelantan dipercayai bermula sejak tahun 1911

    2. Indonesia -Bermula sejak abad ke 12th

    Motif dan corak

    1. Malaysia - motif flora dan warna lebih terang

    2. Indonesia - fauna seperti serangga, burung dan hidupan laut manakala warna gelap (hitam dan coklat gelap).


    Antara batik di Karyaneka, Kompleks Kraf Kuala Lumpur. - Foto Nurul Shafina Jemenon

    Peralatan:

    1. Malaysia - canting mata satu dan kain rentang

    2. Indonesia - menggunakan pelbagai canting dengan kain diletakkan di atas tapak tangan untuk dicanting.

    Fungsi:

    1. Malaysia - digayakan sebagai pakaian dan aksesori

    2. Indonesia - digayakan ketika perkahwinan dan majlis rasmi

    Warna:

    1. Malaysia - menggunakan pewarna atau die yang diimport.

    2. Indonesia - pewarna semula jadi dan die.

    Berita Harian X