Rabu, 13 March 2019 | 4:16pm
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun. - Foto BERNAMA

Kerajaan akan putuskan jawatan Pengarah JSJ Bukit Aman - KPN

KUALA LUMPUR: Jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, dipangku oleh Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Datuk Huzir Mohamed, 57, selepas pengarahnya Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, bersara hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, memberitahu bahawa pihaknya masih menunggu keputusan kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN), yang akan memutuskan individu mana benar-benar layak memegang jawatan berkenaan.

Fuzi berkata beliau dan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, sudah menyerahkan nama-nama calon yang dirasakan sesuai untuk jawatan berkenaan sebelum diputuskan oleh kerajaan serta KDN.

"Jadi, terpulanglah kepada kerajaan untuk menentukan siapa yang akan menjawat jawatan Pengarah JSJ.

"Datuk Huzir Mohamed, dilantik sebagai pemangku jawatan ini kerana kekananan jawatan beliau dan juga sebagai orang nombor satu dalam JSJ selepas persaraan Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin," katanya pada Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman.


Tan Sri Mohamad Fuzi Harun (tengah) menyaksikan penyerahan tongkat kuasa Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd (kiri) kepada pemangku Datuk Huzir Mohamed (kanan) pada Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah di Kuala Lumpur. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Fuzi berkata, Huzir sudah lama berkhidmat dalam pasukan JSJ dan paling lama menjawat jawatan Timbalan Pengarah JSJ (Risikan/Operasi), yang menjadi kriteria utama dilantik sebagai pemangku Pengarah JSJ.

"Keputusan ini bagaimanapun bergantung kepada keputusan yang dibuat oleh kerajaan (KDN) dan juga Suruhanjaya Pasukan Polis, nanti.

"Saya tidak dapat nyatakan nama dan jumlah calon yang kita hantar untuk cadangan sebagai Pengarah JSJ kerana kita ada sistem serta proses yang harus kita akur selain perkara berkenaan juga dirasakan sensitif untuk diumumkan sebelum dimuktamadkan oleh kerajaan," katanya.

Wan Ahmad Najmuddin, yang sebelum ini menjawat jawatan Ketua Polis Johor, menamatkan perkhidmatannya selepas berkhidmat dalam pasukan PDRM sejak 40 tahun lalu.

Huzir, yang kini Pemangku Pengarah JSJ, menyertai PDRM pada Disember 1982, pernah dilantik sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak dan Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Bukit Aman.

Beliau juga pernah dilantik Komander pertama Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) sebelum dilantik sebagai Timbalan Pengarah JSJ.

Sepanjang berkhidmat dalam JSJ sejak 2001, Huzir pernah terbabit dalam Misi Pengaman, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Kosovo dan Kemboja.

Berita Harian X