Khamis, 14 March 2019 | 12:11pm
Anggota pasukan HAZMAT membuat pemeriksaan sebelum kerja-kerja pembersihan sisa bahan toksik di Sungai Kim-Kim, Pasir Gudang dimulakan. - NSTP/Hasan Ismail
Anggota pasukan HAZMAT membuat pemeriksaan sebelum kerja-kerja pembersihan sisa bahan toksik di Sungai Kim-Kim, Pasir Gudang dimulakan. - NSTP/Hasan Ismail

Tunggu laporan kawasan pertanian terjejas akibat pencemaran Sungai Kim Kim - Salahuddin

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani belum menerima laporan berhubung sektor pertanian dan perikanan terjejas berikutan pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayob, berkata pihaknya sedang menunggu laporan daripada Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin Jamal berhubung perkara itu.

“Setakat ini saya masih menunggu laporan daripada Jabatan Pertanian khususnya rakan saya (Dr Sahruddin) dan jika ada yang terjejas, kita akan ambil tindakan pantas dan serta-merta.

“Setakat ini kita memberi tumpuan kepada penduduk yang terkesan akibat perbuatan tidak berperikemanusiaan pihak membuang sisa kimia berkenaan.

“Saya akan lihat dari semasa ke semasa (kawasan pertanian dan perikanan terjejas), katanya kepada media selepas merasmikan Dialog Niaga Agrobank 2019 (DNA 2019), di sini, hari ini.

Hari ini, akhbar ini melaporkan peniaga ikan di sekitar Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang, mendakwa kerugian lebih 50 peratus setiap hari apabila penduduk enggan membeli tangkapan laut kerana bimbang ia mungkin tercemar dengan bahan kimia yang berlaku di Sungai Kim Kim.

Peniaga, Malek Mohd Sah, 52, berkata perniagaannya terjejas teruk sejak Khamis lalu apabila berita mengenai pencemaran Sungai Kim Kim mula tersebar melalui media sosial dan akhbar tempatan.

Katanya, sebelum ini dia biasanya mampu menjual hasil laut sehingga 50 kilogram (kg) sehari manakala pada hujung minggu pula jumlah jualan akan meningkat berkali ganda disebabkan kehadiran warga Singapura.

Sehingga semalam, lebih 500 individu membabitkan murid, pelajar dan orang awam sekitar kawasan Pasir Gudang terkesan akibat pencemaran dipercayai berpunca daripada pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X