Khamis, 14 March 2019 | 7:11pm
KERJA-KERJA pembersihan bahan kimia di Sungai Kim Kim. - Foto Khairul Ghazali
KERJA-KERJA pembersihan bahan kimia di Sungai Kim Kim. - Foto Khairul Ghazali

Pusat bantu kos operasi, beri wang ihsan kepada mangsa

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan akan menanggung kos operasi pembersihan bahan kimia yang menyebabkan pencemaran di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor, sehingga menimbulkan krisis keselamatan penduduk di daerah itu sejak Khamis lalu.

Bagaimanapun, kos operasi itu akan ditanggung bersama dengan kerajaan Johor berdasarkan kepada tuntutan yang akan dibuat kerajaan negeri.

Selain itu, Kerajaan Persekutuan bersetuju menyalurkan bantuan wang ihsan kepada setiap keluarga mangsa yang terkesan akibat pencemaran bahan kimia berbahaya di daerah itu berdasarkan senarai diputuskan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah atau Pegawai Daerah.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam satu kenyataan berkata, pada masa sama semua agensi berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Khas Pengurusan Bahan Berbahaya (HAZMAT) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berada di lokasi bagi melaksanakan operasi pembersihan.

“Turut serta dalam operasi itu adalah Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Kementerian Kesihatan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersama agensi persekutuan lain,” kata kenyataan itu, hari ini.

Sehingga hari ini, hampir 600 individu dirawat akibat pencemaran sisa bahan kimia berbahaya di Sungai Kim Kim sejak Khamis lalu.

Bagi mengelak krisis menjadi lebih teruk dan mangsa pencemaran bahan kimia berbahaya bertambah, Kementerian Pendidikan memutuskan untuk menutup semua 111 sekolah di sekitar Pasir Gudang.

Bagaimanapun, Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian mengesahkan keadaan di Pasir Gudang masih terkawal dengan semua langkah proaktif diambil dan tiada keperluan bagi kerajaan negeri mengisytihar darurat susulan kes itu.

Malah, bencana di Pasir Gudang itu turut mencuri perhatian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang bertindak meninjau lokasi bersama Timbalannya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sementara itu, NADMA mendedahkan, beberapa tindakan diambil selepas krisis berkenaan tercetus iaitu mengumpul empat sampel bahan kima di lokasi Sungai Kim Kim untuk dianalisis Jabatan Kimia Johor.

Katanya, JAS akan terus menjalankan pemantauan berterusan di sekitar kawasan terjejas sehingga kawasan berkenaan selamat, melarang orang awam memasuki kawasan terjejas, melakukan kerja pembersihan oleh kontraktor dilantik dan menyediakan dua kertas siasatan.

* Fakta

Statistik semasa mangsa kejadian pembuangan sisa kimia berbahaya di Pasir Gudang yang dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI)

setakat jam 9.30 pagi

Jumlah mangsa dirawat - 342

Jumlah mangsa dimasukkan ke wad - 239

Jumlah mangsa dibenarkan pulang 247

Dalam Wad

Unit Kecemasan (ICU) - 8

Wad Biasa - 242

Berita Harian X