Khamis, 14 March 2019 | 7:51pm
Ahmad Zaini (tiga dari kiri) bersama pemenang peraduan Jom Selawat pada Majlis Penyampaian Hadiah Peraduan Jom Selawat sempena Kempen #JomCintaNabi di Balai Berita Bangsar, hari ini. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Kempen #JomCintaNabi 2.0 bakal lebih meluas, mantap

KUALA LUMPUR: Kempen #JomCintaNabi yang dianjurkan oleh akhbar BH akan diperluas dan dimantapkan untuk penganjuran kali kedua pada tahun ini.

Ia berdasarkan sambutan luar biasa rakyat Malaysia terhadap kempen yang pertama kali dianjurkan antaranya peraduan Jom Selawat, klip selawat gabungan selebriti tanah air yang mendapat lebih 300,000 tontonan dan perkongsian di Facebook, Twitter dan Instagram.

Pengarang Eksekutif Komersial & Ehwal Semasa BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman, berkata penganjuran kempen itu juga bersesuaian dengan kes penghinaan terhadap Rasulullah SAW yang membimbangkan mutakhir ini.

“Pada hemat saya, mereka tidak memahami dan mengetahui Islam serta Rasulullah SAW. Akibatnya mereka secara sengaja atau tidak membuat penghinaan terhadap Baginda.

“Jadi kita sebagai umat Islam perlu memberi penjelasan tepat dan benar kepada mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Peraduan Jom Selawat sempena Kempen #JomCintaNabi di The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Paimuzi Yahya dan Penolong Pengarah Kanan Unit Perhubungan Awam dan Penerbitan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Saiful Azhar Saadon.

Wakil rakan strategik kempen #JomCintaNabi.

Turut hadir wakil rakan strategik, iaitu Ketua Pegawai Eksekutif, Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP); Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan, BIMB Holdings Berhad, Wan Norkhairi Wan Samad; Ketua Pematuhan Syariah, Bank Rakyat, Mohd Zamerey Abdul Razak; Timbalan Ketua Eksekutif, Dasar dan Operasi, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Mastura Khalid dan Pengurus Pemasaran dan Jualan Travelyoyo Sdn Bhd, Anis Abd Sabhee.

Ahmad Zaini berkata, BH berhasrat terus mengadakan kerjasama dengan rakan strategik dalam menganjurkan kempen itu yang diadakan sempena sambutan Maulidur Rasul.

“Kita bercadang untuk mengadakan sambutan Maulidur Rasul bersama JAKIM dengan lebih lama.

“Kebiasaannya ia dianjurkan hanya sehari tetapi dengan kerjasama rakan strategik, kempen ini boleh diadakan lebih panjang dengan menganjurkan karnival, pameran, konvensyen dan seminar yang juga boleh membabitkan kumpulan agama lain.

“Menerusinya kita bukan saja membantu membina kefahaman dalam kalangan umat Islam, bahkan kepada bukan Islam,” katanya.

Kempen #JomCintaNabi yang julung kali dianjurkan BH itu, bertujuan menyemarakkan kecintaan umat Islam kepada Nabi Muhammad SAW, selain memeriahkan sambutan kelahiran Baginda.

Sepanjang kempen berlangsung pada akhir tahun lalu, pelbagai pengisian dianjurkan termasuk peraduan Jom Selawat, poster eksklusif #JomCintaNabi dalam akhbar BH, platform digital Berita Harian Online dan media sosial serta kapsul BHTV, Jom Tanya Ustaz Edisi Khas: #JomCintaNabi.

Berita Harian X